18 Januari 2024 - Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah merasmikan pembukaan Restoran Feng Cha TLF Sdn Bhd di No. 21, Pusat Perdagangan Canning II, Ipoh Perak pada tengah hari tadi.
Jabatan Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Ipoh menjalankan pemeriksaan, pemantauan rutin dan berkala terhadap semua premis makanan yang dilesenkan dibawah MBI.
Tahun 2024, jumlah premis makanan yang diperiksa adalah sebanyak 982 premis makanan yang telah mencapai pengiktirafan pensijilan Gred A daripada 3200 premis makanan yang telah dilesenkan oleh majlis, dimana telah mencapai peratusan 30% Gred A daripada jumlah premis makanan yang dilesenkan.
Pihak MBI terus berusaha menjalankan pemantauan pemeriksaan dan pengredan premis makanan secara rutin dan mensasarkan pencapaian peratusan 50% Gred A premis makanan di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh pada tahun 2025. Pencapaian sasaran ini adalah penting untuk merancakkan ekonomi gastronomi dalam kalangan peniaga premis makanan tempatan sebagai persiapan program Majlis Bandaraya Ipoh untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bandaraya Ipoh telah dipilih antara 8 destinasi pelancongan pilihan terbaik di Asia pada tahun 2025. Menerusi laporan daripada Time Out, Bandaraya Ipoh menduduki tangga ke-5 daripada 8 destinasi pilihan yang menjadi tarikan pelancong ke kawasan bersejarah serta memikat hati pelancong dengan bangunan warisan serta deretan kedai lama selain keindahan gua batu kapur dan tidak terkecuali Ipoh juga terkenal sebagai syurga makanan dan minuman kopi.
Untuk makluman bersama, pengiktirafan sijil Gred A hanya sah dalam tempoh 2 tahun dari tarikh dikeluarkan. Bagi premis yang telah mendapat sijil Gred A boleh memohon untuk pembaharuan di Tingkat 5, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandaraya Ipoh. Pegawai yang diberi kuasa akan membuat pemeriksaan semula mengikut format borang penilaian dan penggredan premis makanan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT).
Kriteria pengsijilan Gred A mengambil kira tahap kebersihan premis dan tandas berkonsep Bersih, Menawan dan Wangi (BMW). tambahan lagi, premis perlu mengemukakan beberapa dokumentasi yang utama seperti kad suntikan anti-typhoid bagi semua pengendali makanan, kursus pengendali makanan, pemasangan alat perangkap minyak (grease trap), dan mengadakan kawalan serangga perosak (pest control).
Pelaksanaan dasar kebersihan tandas BMW diambil kira sebagai syarat pembaharuan lesen perniagaan premis makanan yang bermula tahun 2024 oleh Majlis Bandaraya Ipoh saranan daripada KPKT. Sepanjang tahun 2024, sebanyak 1689 tandas premis makanan telah diperiksa dan diberi penarafan bintang termasuk sebanyak 1670 tandas premis makanan yang telah diberi penarafan 4 bintang ke atas. Walaubagaimanapun sebanyak 19 tandas premis makanan telah diberi penarafan 3 bintang dan telah diambil tindakan surat amaran dan kompaun serta lesen perniagaan tidak diperbaharui pada tahun 2025 sehingga premis tersebut mengambil tindakan pematuhan dan mencapai tahap kebersihan tandas premis makanan kepada 4 bintang dan ke atas.
Tindakan susulan seperti pengeluaran notis tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 akan diambil sekiranya didapati premis makanan tersebut masih beroperasi setelah lesen perniagaan tidak diperbaharui.
Beberapa kebaikan jika dapat pengiktirafan Gred A adalah Kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan lebih terjamin, industri gastronomi meningkat dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri, dan pihak pengusaha -pengusaha premis makanan boleh maju bersama kemajuan bandaraya Ipoh selaras dengan sasaran Ipoh Bandar Pelancongan Utama Negara 2025 dan persiapan awal menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Majlis Bandaraya Ipoh mengalu -alukan penglibatan semua pihak pengusaha premis makanan yang berkelayakan untuk pengiktirafan Gred A. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandaraya Ipoh di talian 05-2083290 atau 05-2083289.