14 Disember 2023 - Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2023 Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan MBI, Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Clr Dato' Mazlan bin Abd. Rahman, Clr.Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis MBI, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Sambutan Hari Kesihatan Tandas Sedunia yang disambut pada 19 November setiap tahun yang memberi inspirasi untuk menangani krisis sanitasi global dimana 3.5 bilion orang masih hidup tanpa sistem sanitasi yang terurus. Tema sambutan Hari Tandas Sedunia bagi tahun 2023 adalah ‘Accelerating Change’ iaitu ‘Memacu Perubahan’.
Sambutan ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang awam akan kepentingan sistem sanitari yang lengkap dan mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Ke-6 (Air dan Sanitari kepada semua menjelang 2030) Sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia 2023, pihak Majlis telah menganjurkan Pertandingan Anugerah Tandas Terbersih Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh bagi 2 kategori, iaitu Kategori Tandas Tempat Tumpuan Awam Terbersih dan Kategori Tandas Stesen Minyak Terbersih.
Sebanyak 81 tandas awam di dalam pusat membeli belah dan 118 tandas awam stesen minyak telah diperiksa dan dinilai. Daripada itu, 8 tandas awam daripada kedua-dua kategori premis berkenaan telah di senarai pendekkan melalui proses penilaian awal oleh pihak urusetia, dan penentuan pemenang utama dijalankan oleh 3 orang Ahli Majlis iaitu YBhg. Clr Dato’ Mazlan Bin Abdul Rahman, YBhg. Clr En. Ng Haen Vee dan YBhg. Clr En. Tan Seong Peng.
Pemenang Tempat Pertama bagi Program Pertandingan Tandas Bersih Tempat Tumpuan Awam adalah Pasaraya AEON Ipoh Klebang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 2,000.00 berserta sijil penghargaan dan cenderamata manakala Pemenang Tempat Pertama bagi Program Anugerah Tandas Stesen Minyak Terbersih adalah Stesen Minyak Shell Jalan Hospital menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 2,000.00 berserta sijil penghargaan dan cenderamata.
Majlis Bandaraya Ipoh turut menyerahkan sijil penghargaan kepada 6 pemilik premis yang telah menyertai PERTANDINGAN “TOILET OF THE YEAR AWARD” anjuran KPKT pada bulan Ogos 2023 bagi kategori Tandas Awam Pusat Beli Belah, Tandas Awam Restoran Berhawa Dingin, Tandas Awam Hotel dan Tandas Awam Stesen Minyak.
Selain itu, pihak Majlis Bandaraya Ipoh juga memberi sumbangan wang kemenangan sebanyak RM 2, 000 kepada Masjid Muhammadiah, Taman Tasek Jaya, Ipoh yang telah dipilih menjadi johan dalam kategori PBT Kebersihan dan Keceriaan Terbaik sempena Program “Celebrating Visit Perak 2017 @ Year Perak Green & Clean Campaign”. Sumbangan ini bagi menghargai kerjasama ahli jawatankuasa masjid yang membantu dalam persiapan menjaga kebersihan, keindahan dan keceriaan tandas awam masjid serta persekitaran.
Adalah menjadi harapan Majlis supaya program seperti ini boleh meningkatkan penglibatan dan penyertaan premis Pusat Tumpuan Awam, Stesen Minyak dan beberapa kategori premis seperti rumah ibadat, pengangkutan awam serta kawasan pelancongan yang lain di dalam kawasan Pentadbiran Majlis Bandaraya bagi edisi akan datang.
Majlis Bandaraya Ipoh, melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran akan terus meningkatkan aktiviti pemantauan dan penilaian tandas awam dengan pendekatan 3E, iaitu secara Libat Urus (Engagement), Pendidikan (Education), dan Penguatkuasaan (Enforcement) di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh bagi mencapai sasaran BMW seperti saranan KPKT seterusnya menjadikan Ipoh bandaraya contoh dari segi kebersihan dan keselesaan kepada orang awam.
Semoga program ini akan menjadi titik tolak untuk mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera dan Perak Sejahtera.