9 Februari 2024 - Majlis Sambutan Israk & Mikraj 1445H/2023M Peringkat MBI anjuran Jawatankuasa Kecil Agama Islam MBI dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam MBI (PERKIP) telah diadakan pagi tadi bagi menyemarakkan lagi syiar Islam di Bandaraya Ipoh disamping mengeratkan hubungan silaturrahim sesama warga MBI yang beragama Islam.
Ia telah dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, Y.Bhg. Clr. Shamsul Effendy bin Abd Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Agama Islam MBI, Ahli Majlis MBI, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Ustaz Syed Mohd Muzaffar bin Syed Azlan, Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah selaku Penceramah Jemputan, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Kanan dan Ketua-Ketua Jabatan MBI.
Dalam perutusannya, Y.Bhg. Datuk Bandar Datuk Bandar mengingatkan warga MBI agar mengiktibari peristiwa Israk dan Mikraj untuk mengukuhkan akhlak sebagai seorang penjawat awam Muslim yang unggul terutamanya melalui solat dan ibadah-ibadah yang lain. Rasulullah SAW sentiasa menyeru agar menjaga solat dan akhlak. Akhlak yang kurang baik dan tidak berintegriti oleh segelintir umat Islam khususnya penjawat awam kini berpunca daripada solatnya yang tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan kurang baik dan tidak berintegriti. Pelaksanaan solat yang khusyuk berupaya menjadi benteng untuk mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak umat Islam bagi menghadapi segala serangan sosial masa kini.
Menurut beliau lagi, menyaksikan apa yang berlaku di luar negara khususnya di Palestin, kita seharusnya bersyukur dengan kestabilan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita yang masih membolehkan bekerja serta mendapat gaji untuk meneruskan kehidupan seharian. Ini semua memerlukan dukungan dan peranan semua pihak. Malaysia telah dinobatkan sebagai negara ke-19 paling aman di dunia, ke-4 di Asia dan Ke-2 di Asia Tenggara dalam Indeks Keamanan Global 2023. Beliau turut menyeru warga MBI sebagai penjawat awam harus menyokong usaha-usaha kerajaan khususnya MBI dan mengambil bahagian dalam membina persekitaran negara yang aman dan selamat.
Semoga umat Islam khususnya warga MBI dapat bersama-sama mengiktibari Peristiwa Israk dan Mikraj ini serta penghayatan kepada peristiwa hebat ini menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini.