Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan Operasi Meroboh Struktur Binaan Tanpa Kelulusan Fasa 1 Tahun 2025 sepanjang tempoh 17 hingga 24 Februari 2025 yang melibatkan 9 buah struktur binaan dijadikan kandang haiwan, setor dan shed parkir kenderaan di atas rizab awam.
Untuk makluman, Standard Operating Procedure (SOP) bagi pelaksanaan operasi meroboh adalah dengan pengeluaran Notis Roboh di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dengan arahan pematuhan Notis Roboh selama 30 hari. Kes juga boleh diberi lanjutan pematuhan notis mengikut tempoh yang dipertimbangkan oleh pihak MBI. Bagi kes yang dijalankan pelaksanaan operasi meroboh kali ini adalah kes yang telah diberi lanjutan sehingga lebih satu tahun.
Kekuatan anggota adalah kira-kira 90 orang dengan penglibatan pelbagai agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Lembaga Air Perak (LAP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.
Setiap pelaksanaan operasi meroboh bermula jam 9.00pagi dan berakhir kira-kira pada jam 1.00 tengah hari.