28 September 2024-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan 20 September pada setiap tahun sebagai WORLD CLEAN UP DAY sebagai satu usaha kesedaran di peringkat global untuk meningkatkan kesedaran pembersihan awam di segenap lapisan masyarakat . Hasrat ini selari dengan aspirasi kerajaan yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan rakyat .
Program ini adalah berkonsepkan kepada pelaksanaan gotong- royong secara mega bersepadu di seluruh negara yang meliputi skop pembersihan kawasan sekitar , pelaksanaan kempen kitar semula, kesedaran penggunaan beg plastik sekali guna dan sebagainya .
Di peringkat Majlis Bandaraya Ipoh, MBI telah melaksanakan Program Pembersihan Mega Bersempena World Clean Up Day 2024 di Dataran Bandaraya Ipoh yang turut dihadiri oleh Y.Bhg Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, Y.Bhg. Dato' Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis, Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, dan Ketua Jabatan MBI.
Ia memfokuskan agenda keberhasilan program seperti pembersihan kawasan, pemangkasan pokok, pembersihan longkang , penyapuan dan lain-lain. Untuk makluman, bagi tahun 2024, setakat Ogos, pihak MBI telah melaksanakan sebanyak 49 program gotong royong melibatkan Ahli Majlis MBI dan penyertaan lain-lain institusi .
Melalui inisiatif aktiviti kitar semula yang dilaksanakan oleh MBI , bagi tahun 2023& 2024, MBI telah berjaya mengumpul sebanyak 417.6 tan minyak masak terpakai melibatkan 7.202 tan Pengurangan Karbon CO2.
Bagi tahun 2021-2024, kita berjaya mengumpul sebanyak 323.72 tan produk ewaste melibatkan 281.63 tan pengurangan Karbon CO2
Pihak Majlis Bandaraya Ipoh turut melibatkan usahasama dengan rakan -rakan strategik seperti Majuperak Utilties Management (M) Sdn Bhd (MUMSB) untuk aktiviti kitar semula Trash4cash , syarikat rakan strategik e waste ,minyak masak terpakai & tayar terpakai.
Hasil kerjasama MBI & syarikat Majuperak Utilties Management (M) Sdn Bhd (MUMSB), Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) Trash4Cash yang pertama telah dilancarkan pada 19 Mac 2023 di Padang Lintau Manjoi dan kedua telah mula beroperasi sejak April 2024 di Dewan Orang Ramai Taman Meru.
Melalui program 3R Trash4cash ini (Januari 2023 hingga Julai 2024), jumlah kutipan bahan kitar semula pintu-ke-pintu adalah sebanyak 94,979.09 kg dengan jumlah penyertaan seramai 2,401 orang penduduk.
Jumlah kutipan bahan kitar semula di ADTReC pula adalah sebanyak 8,570.75 Kg dengan jumlah penyertaan seramai 1393 orang penduduk. Implikasi daripada aktiviti kitar semula Trash4cash ini, jumlah anggaran pengurangan Gas Rumah Hijau (GHG) adalah sebanyak 283,973.16 KgCo2.
Antara objektif utama pelaksanaan program kitar semula Trash4cash ini adalah untuk memaksimakan penglibatan Masyarakat, Industri, Komersial dan Institusi (ICI) di dalam aktiviti kitar semula. MBI juga menyarankan syarikat korporat yang lain untuk mengambil bahagian untuk bersama-sama menjayakan program kelestarian alam sekitar ini.
Bagi pihak Majlis Bandaraya Ipoh , sentiasa komited berusaha sedaya upaya bagi meningkatkan kualiti kebersihan bandaraya dan sentiasa kehadapan dalam menyahut seruan kerajaan dalam usaha kesedaran di peringkat global untuk meningkatkan kesedaran pembersihan awam di segenap lapisan masyarakat di seluruh kawasan pentadbiran majlis.
Semoga segala usaha MBI bersempena World Clean Up Day 2024 ini akan memastikan MBI “Smart and Green City” pada tahun 2030 akan tercapai dan agenda transformasi minda masyarakat ke arah membudayakan amalan kitar semula dan menjaga kebersihan persekitaran akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.