Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), Majlis Bandaraya Ipoh telah menganjurkan Program Pendidikan Dan Pemerkasaan Komuniti Strata Tahun 2024 pada 11 Jun 2024 bertempat di Dewan Taman Cempaka, Ipoh, Perak dan dirasmikan oleh YBhg Dato’ Haji Rumaizi Bin Baharin @ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh merangkap Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Bandaraya Ipoh.
Program tersebut telah mempertemukan peserta seramai 150 orang yang terdiri daripada ahli-ahli Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC), Pemaju, Ejen Pengurusan dan pemilik-pemilik strata.
Selain itu, program ini turut dihadiri oleh wakil-wakil Tribunal Perumahan Pengurusan Strata (TPPS), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Ahli-ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Ketua-Ketua Jabatan Unit Majlis Bandaraya Ipoh dan pegawai-pegawai Majlis Bandaraya Ipoh.
Sesi pertama program dimulakan dengan taklimat yang bertajuk Bidang Kuasa dan Prosedur Tuntutan di Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata. Taklimat telah disampaikan oleh Puan Siti Zubaidah Binti Helmaterlidi iaitu Pegawai Undang-Undang dari Tribunal Perumahan Dan Pengurusan Strata (TPPS), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Kemudian taklimat yang bertajuk Kaedah Perolehan di Skim Strata. Taklimat telah disampaikan oleh Tuan Mohd Yusnaidi Bin Salleh iaitu Penolong Pengarah Kanan jabatan Pesuruhjaya Bangunan dari Majlis Bandaraya Subang Jaya.
Program Pendidikan Dan Pemerkasaan Komuniti Strata Tahun 2024, Majlis Bandaraya Ipoh telah melabuhkan tirai pada pukul 5.00 petang.