16 Oktober 2023- Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah merasmikan Program Penyerahaan Anugerah Restoran & Kafe Terbersih dan Penyerahan Sijil Gred A Sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Tahun 2023 petang tadi.
Iail turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Mazlan bin Abd. Rahman, Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis dan Ketua Jabatan MBI.
Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia yang disambut pada 26 september setiap tahun dan tema sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia pada tahun 2023 adalah ; Kesihatan Persekitaran Global: Lindungi Semua, Setiap Hari ‘Global Environmental Public Health: Standing Up To Protect Everyone’s Health Each And Every Day‘.
Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia adalah untuk memperingati kepentingan kesihatan persekitaran dan ianya juga mendedahkan tentang peranan kesihatan dalam penjagaan kebersihan persekitaran, selaras dengan sasaran misi Ipoh Bandaraya Terbersih 2023.
Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandaraya Ipoh telah menganjurkan pertandingan restoran & kafe terbersih di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh bagi tahun 2023 yang berlangsung sejak bulan Mei 2023 hingga bulan Ogos 2023.
Program Pertandingan Restoran & Kafe Terbersih pada tahun 2023 terbuka kepada semua premis makanan yang dilesenkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh.
Objektif pertandingan ini adalah:
i) Untuk meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keceriaan restoran, kafe dan kedai makan di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh;
ii) Menjadikan bandaraya Ipoh sebagai destinasi menjamu selera yang bersih dan selamat serta menjadi kebanggaan warga kota Ipoh;
iii) Merealisasikan sasaran Ipoh Bandaraya Terbersih Tahun 2023 dan ianya juga adalah untuk mempromosikan Tahun Melawat Ipoh 2023 dan Tahun Melawat Perak 2024.
Sebanyak 10 premis makanan berlesen telah menyertai pertandingan ini setelah borang pelawaaan penyertaan dihebahkan melalui portal rasmi MBI, paparan digital MBI serta media sosial bermula pada tarikh 2 Mei 2023 sehingga 28 Mei 2023.
Pemenang Tempat Pertama ialah Restoran Cawan Mu F&B, De Garden Ipoh dan telah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.00 beserta sijil penghargaan.
Pemenang Tempat Kedua ialah Dragon Seafood Restaurant Sdn Bhd, Falim Ipoh telah menerima wang tunai sebanyak RM1,000.00 beserta sijil penghargaan.
Pemenang Tempat Ketiga ialah Wing’s Delight Sdn Bhd, Greentown Ipoh telah menerima wang tunai sebnyak RM750.00 beserta sijil penghargaan.
Manakala 7 premis lagi menerima hadiah sagu hati wang tunai RM 250.00, sijil penghargaan setiap satu premis.
Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandaraya Ipoh telah meningkatkan aktiviti pemantauan Establisymen Makanan bagi memastikan tahap kebersihan dari aspek premis makanan, penampilan diri pengendali makanan, tempat penyediaan makanan serta kemudahan tandas supaya mencapai sasaran BMW (Bersih, Menawan Dan Wangi) bagi memenuhi kehendak pelancong supaya sentiasa bersih dan selamat.
Sehingga bulan September 2023, sebanyak 359 daripada 1,072 premis restoran, kafe & tempat makan yang telah dinilai pada tahun 2023 telah dianugerahkan sijil penilaian Gred A berdasarkan borang pemantauan penilaian Establisymen Makanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan.
Majlis Bandaraya Ipoh juga telah mengadakan penyerahan Anugerah Sijil Gred A hasil penilaian dari bulan Mei 2023 hingga bulan Julai 2023 kepada 10 premis makanan termasuk restoran dan kafe yang dilesenkan di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh.
Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandaraya Ipoh akan terus meningkatkan aktiviti pemantauan dan penilaian premis makanan di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh untuk mendorong para pemilik premis makanan sentiasa memahami dan mematuhi syarat-syarat perniagaan yang dikeluarkan, meningkatkan tahap kebersihan premis makanan, memberi pendidikan kesihatan dan info berkaitan aktiviti atau program melibatkan premis makanan anjuran Majlis Bandaraya Ipoh.
Melalui program seperti ini, pihak Majlis berpeluang mengetengahkan / mempromosikan premis-premis restoran dan kafe yang terbersih disamping menjadi penandaaras (benchmark) kepada premis restoran dan kafe yang lain.
Adalah menjadi harapan majlis supaya program seperti ini boleh mendorong penglibatan dan penyertaan premis makanan gred A yang lain di dalam kawasan Pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh untuk menyertai Pertandingan Restoran & Kafe Terbersih bagi edisi akan datang, Insya’Allah.
Untuk makluman, orang awam, pelancong dan pemegang lesen perniagaan premis makanan boleh mengekses sistem MyGred MBI di pautan
http://mygred.mbi.gov.my untuk menyemak status kebersihan premis makanan yang dikunjungi. Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan premis makanan yang bersih kepada pengunjung dan pelancong.
Pada Tahun 2024, Jabatan Kesihatan Persekitaran telah merancang untuk melaksanakan Kempen Minggu Kesihatan Persekitaran Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh merangkumi pelbagai aktiviti kesihatan persekitaran bersempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran edisi tahun 2024.
Semoga program ini akan menjadi titik tolak untuk mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera dan Perak Sejahtera.