4 Januari 2024 – Satu sesi libat urus (Town hall) bersama peniaga / penjaja di Jalan Baru (Bawah Tali Api) Kg. Manjoi telah diadakan di Dewan Kawasan Rukun Tetangga, Kg Tengku Hussein pada jam 8.30 malam dengan jemputan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sesi ini dipengerusikan oleh Tuan Setiausaha Bandaraya, Tn. Ahmad Munir bin Ishak. Turut dihadiri Ahli Majlis kawasan iaitu YBhg.Clr. En Ahmad Khair Faizal bin Yahaya, Pemangku Pengarah Pelesenan En. Lee Soon Gum, Pengarah Kesihatan Bandaraya En. M.Raman A/L Maran, Pengarah Pengurusan Fasiliti En. Romzi bin Zamri, Jurutera bertauliah TNB En. Ir. K. Mahendran dan pegawai-pegawai wakil Jabatan dari Majlis Bandaraya Ipoh turut hadir bersama. Seramai 18 peniaga/ penjaja hadir disesi townhall ini.
Isi taklimat yang disampaikan ialah Cadangan Melesenkan Gerai Kg. Manjoi oleh Pemangku Pengarah Pelesenan, Taklimat Keselamatan dan Kesedaran Elektrik oleh Jurutera bertauliah TNB dan Syarat-syarat Lesen Penjaja oleh Pengarah Kesihatan Bandaraya.
Selesai sesi taklimat, sesi perbincangan dan soal jawab diantara pihak Majlis dan peniaga diadakan. Kata sepakat telah diputuskan kadar lesen yang ditetapkan ialah sebanyak RM230 setahun dan pihak Majlis turut bersetuju untuk menjalankan pembangunan secara berfasa bagi kemudahan-kemudahan yang diminta oleh penjaja seperti tandas awam, pencahayaan, meter air berasingan dan keselamatan peniaga.
Sesi libat urus ini merupakan salah satu inisiatif MBI dalam membantu isu penjaja tanpa lesen terutama di Jalan Baru Kg. Manjoi yang telah lama berniaga lebih 8 tahun. Rata-rata para peniaga bersetuju untuk mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak MBI bagi membolehkan mereka berniaga secara sah / berlesen.