7 Februari 2024 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan sesi townhall bersama peniaga, pemilik kedai dan penduduk di Jalan Kamaruddin Isa, Ipoh berkaitan banjir kilat yang berlaku pada 24 Januari 2024.
Ia turut dihadiri oleh YBhg. Clr. Encik Wong Kar Keat selaku Ahli Majlis MBI, Setiausaha Bandaraya Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Pengarah Kejuruteraan Infra Encik Ridza’uddin bin Mohd Radzi dan Penasihat Undang-undang Bandaraya Encik Syahrul ‘Azrin bin Ghazali.
Pada sesi ini, pihak Majlis telah memaklumkan bahawa kerja-kerja membesarkan kelubung di Jalan Kamaruddin Isa akan dipercepatkan memandangkan situasi cuaca pada masa kini tidak dapat dijangka. Kontraktor yang dilantik telah diarahkan membesarkan kelubung tersebut agar laluan air di kawasan ini akan mengalir ke sungai dengan cepat.
Bencana banjir kilat yang berlaku tempoh hari mengakibatkan kerugian kepada peniaga, pemilik kedai dan penduduk yang terlibat akan diberi pampasan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pihak Majlis juga memohon kepada peniaga, pemilik kedai dan penduduk tidak membuang sisa restoran, sampah domestik dan sampah pukal ke dalam longkang yang menjadikan ia tersumbat dan menyebabkan banjir kilat pada masa akan datang.
Bersama-samalah kita menjaga kebersihan bandar raya Ipoh.