29 Februari 2024-Majlis Bandaraya Ipoh melalui Sekretariat Ipoh Bandaraya Ekonomi Donat, Institut Darul Ridzuan dan Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University telah bekerjasama menganjurkan sesi townhall ke arah Bandar Ekonomi Donat 2027.
Sesi Townhall ini merupakan kali pertama bagi Ipoh Bandaraya Ekonomi Donat 2027 bagi tahun 2024.
Sesi ini bermula dengan ucaptama daripada Y.Bhg Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh dan seterusnya penerangan mengenai Ekonomi Donat oleh Prof. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Sesi Soal Jawab yang diuruskan oleh TPr. Dr. Zulqarnain bin Mohamad, Ketua bersama pasukan Sekretariat Ipoh Bandar Ekonomi Donat. Kuiz secara game online yang menarik telah dikendalikan oleh Encik TJ Revan Lim dari Sunway Centre for Planetary Health.
Banyak program telah dilaksanakan berkaitan Ipoh Bandar Ekonomi Donat ini, antaranya penubuhan Sekretariat Ipoh Bandar Ekonomi Donat, Sambutan World Doughnut Economics Day bersama Ipoh Low Carbon Day, program-program mentoring, perbincangan online bersama rakan-rakan Doughnut Economics Action Lab (DEAL) di UK dan German, kajian indeks/indikator Ekonomi Donat serta majlis MoU antara tiga pihak iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Institut Darul Ridzuan dan Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University.
Penganjuran sesi kali ini adalah bertujuan untuk memaklumkan, memberi kefahaman secara mendalam mengenai Ekonomi Donat kepada kumpulan ahli majlis, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta NGO terpilih. Ini adalah sesi pertama dan akan diikuti dengan sesi-sesi lain bagi mendengar pendapat dan mendapatkan pandangan kerana ramai yang masih tertanya-tanya apa itu Ekonomi Donat, apakah fungsinya dan apa kelebihan Ekonomi Donat ini buat warga Negeri Perak, khususnya Bandaraya Ipoh.
Konsep bandar Ekonomi Donat seperti yang dilhamkan oleh Professor Kate Raworth dari Oxford University adalah bagi memastikan pembangunan yang seimbang dalam memenuhi keperluan ekonomi tetapi dalam lingkungan had kemampuan alam sekitar. Kerangka ekonomi donat ini disempadani oleh bulatan kesejahteraan sosioekonomi di bahagian dalam dan disempadani oleh batasan kemampuan alam sekitar di sebelah luar menjadikan bentuknya seperti donat atau kuih keria.
Konsep Ekonomi Donat ini telah dimulakan oleh beberapa bandaraya dunia antaranya Amsterdam (Belanda), Brussels (Belgium), Berlin (Jerman), Melbourne dan Sydney (Australia), Oxford dan Birmingham (UK). Antara bandar-bandar yang terkini adalah Mexico City di Mexico dan Cornwall di UK. Konsep ini meliputi ekonomi kitaran, dan bukan sahaja mengambil kira kelestarian alam sekitar, tetapi juga mengambil kira keadilan sosioekonomi, budaya dan kesesuaian tempatan. Ipoh merupakan bandaraya pertama di rantau ini yang mempelopori konsep bandar Ekonomi Donat.
Majlis Bandaraya Ipoh telah mengambil inisiatif awal dengan mewujudkan sebuah Sekretariat Ipoh Bandar Ekonomi Donat bagi membantu mencapai hasrat ini.
Selaras dengan sasaran Perak Sejahtera 2030, kita harus menggabungkan prinsip-prinsip pembangunan mampan dan inklusif dalam setiap aspek perancangan dan pembangunan bandar. Ini termasuk peningkatan infrastruktur, kemudahan perkhidmatan awam, kelestarian alam, keadilan sosial serta peningkatan ekonomi masyarakat tempatan. Pelaksanaan Ipoh Bandar Ekonomi Donat juga adalah salah satu wadah ke arah wawasan Ipoh Smart Green City (Ipoh Bandaraya Pintar Hijau).
Kerjasama yang erat dalam menjayakan sesi townhall ini akan dapat memberi penekanan kepada perkembangan ekonomi yang lestari, memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat serta menjadikan Ipoh sebagai contoh terbaik dalam konteks bandaraya dinamik dan berdaya maju.