HATYAI - Setiausaha Bandaraya, Tuan Ahmad Munir bin Ishak yang mengetuai lawatan rasmi pegawai-pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke Hatyai City Municipality (HCM) telah dijemput untuk menghadiri Majlis Perasmian dan Sidang Media Sempena Hatyai Countdown 2024 yang dilangsungkan pada Rabu, 13 Disember 2023 di Grand Ballroom, Crystal Hatyai Hotel.
Majlis Perasmian dan Sidang Media sempena Hatyai Countdown 2024 telah berlangsung dengan meriah dan gilang gemilang yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Hatyai, Pol. Lt. Gen. Sakorn Thongmunee turut dihadiri oleh Tourism Authority of Thailand, Tourism and Sports of Songkhla, Commander of The 42nd Military District dan Superintendent of Hatyai Provincial Police Station.
Tuan Ahmad Munir bin Ishak telah dijemput dan diberikan penghargaan untuk menyampaikan ucapan di dalam majlis tersebut.
" Lawatan rasmi MBI ke Hatyai merupakan program susulan kepada sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Pelancongan Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism) yang telah berlangsung pada bulan lepas di Ipoh yang melibatkan 3 buah negara iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia".
" MBI mengambil langkah awal dan ke hadapan dalam memperkenalkan Muslim-Friendly Tourim dengan menandatangani MOU ini di samping mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024. Secara khususnya, memperkenalkan Bandar Raya Ipoh yang terkenal dengan produk tempatan seperti gastronomi, budaya termasuklah pelancongan sukan yang mana Ipoh mempunyai fasiliti sukan bertaraf antarabangsa yang dikendalikan oleh MBI".
Lawatan kerja ke HCM selama 3 hari tersebut telah menjadi medan dalam mengeratkan huhungan dua hala di antara MBI dan HCM yang telah terjalin sekian lama.
Seramai 24 pegawai dan anggota MBI menyertai delegasi lawatan ini yang turut disertai oleh Pengarah Kanan (Teknikal), En. A'zman bin Mohd Harun, Pengarah Perbendaharaan, En. Mohd Syazlan bin Mohd Isa Suffian dan Pengarah Kerja dan Bangunan, En. Arif bin Mohd Zainudin.