7 Oktober 2024 - Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya telah merasmikan Bengkel Semakan Semula Kajian Keberkesanan Pemantauan dan Penilaian Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) MBI pagi tadi.
Bengkel ini dilaksanakan selepas hampir lima (5) tahun pelan ini dibangunkan di Majlis Bandaraya Ipoh. OACP ini dibangunkan bagi memperteguhkan nilai-nilai integriti dan menyatakan pendirian Majlis dalam agenda memerangi sebarang risiko atau kos yang terselindung berkaitan dengan kegiatan rasuah atau penipuan dalam perkhidmatan Majlis.
Warga Majlis sentiasa mengambil berat isu berkaitan rasuah. Pelbagai aktiviti telah dirancangkan dan dilaksanakan oleh Pengurusan Majlis bersama antaranya taklimat dan ceramah integriti berkaitan kesan penyalahgunaan rasuah, hebahan bahan cetakan dan sebagainya. Di antara pencapaian dan usaha-usaha yang telah dan akan dilaksanakan bagi mengekang perlakuan rasuah di Majlis adalah:
i. Pelan Anti Rasuah Organisasi MBI 2021-2025 yang dilancarkan pada 2 September 2021;
ii. Merangkul Gangsa dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 pada 17 Januari 2023;
iii. Peningkatan imej Majlis menerusi pengiktirafan profesionalisme Pegawai Majlis melalui penglibatan aktiviti atau pekerjaan luar;
iv. Pengisytiharan harta penjawat awam diteruskan dan diperluaskan kepada semua gred;
vi. Meneruskan program-program pengukuhan integriti yang berkualiti untuk terus membimbing dan menerapkan nilai-nilai positif dalam diri kakitangan awam dan swasta negeri; dan akhir sekali
vii. Pensijilan ISO 37001: 2016 Anti Bribery Management Systems (ABMS).
Salah guna kuasa berlaku apabila seseorang individu menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan. Ia juga sebenarnya merupakan perbuatan rasuah yang perlu ditolak dan dicela. Ingin saya tegaskan di sini, Majlis tidak akan sesekali melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan sebarang aktiviti penipuan rasuah.
Sebarang bentuk ketirisan wang awam yang disebabkan oleh perlakuan rasuah akan dihentikan serta-merta dan tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil.
Majlis tidak akan berkompromi dengan pelaku-pelaku dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Berkuasa supaya sesiapa yang didapati bersalah, perlu menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.
Tidak kira walau apa jua agama, aktiviti menipu / rasuah / memanipulasi amat keji dan dibenci, manakala daripada segi moral, perbuatan memberi dan menerima rasuah adalah tidak berintegriti.
Semoga warga MBI akan dapat menjauhkan diri dari melakukan sebarang perlakuan sedemikian selama bertugas di MBI.