8 Julai 2023 - Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya mewakili Datuk Bandar telah merasmikan Kejohanan Karom & Dart Piala Datuk Bandar Ipoh di Stadium Indera Mulia pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis, Ahli Majlis, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Kejohanan ini mempunyai signifikannya yang tersendiri kerana ianya diadakan sempena Sambutan Hari Bandaraya Ipoh yang ke-35. Ia merupakan medan
terbaik yang menghimpunkan semua individu dan pasukan yang bertanding.
Kejohanan ini juga akan dapat menggilap dan melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan dart dan karom yang seterusnya berpotensi mengharumkan lagi nama pasukan masing-masing pada masa hadapan. Tidak mustahil hasil dari Kejohanan ini bakal melahirkan pemain negara.
Bukanlah matlamat utama bergiat cergas dalam aktiviti kesukanan untuk menjadi juara semata-mata, tetapi yang paling penting ialah mendorong semangat kesukanan itu sendiri.
Aktiviti kesukanan dapat menerapkan semangat kerja berpasukan, meningkatkan semangat juang, meningkatkan ketahanan mental, menjalinkan silaturrahim dan sebagainya yang boleh diaplikasikan dalam konteks kehidupan dan kerja kita secara khususnya.
Kejohanan Karom & Dart Piala Datuk Bandar Ipoh yang berlangsung selama 2 hari ini membabitkan 85 regu (karom) dan 75 regu (dart).
Sebagai tuan rumah kejohanan ini, MBI ingin membantu untuk mengembangkan lagi sukan dart dan karom di Bandaraya Ipoh. Usaha pembangunan kegemilangan sukan, ianya adalah hak, amanah dan tanggungjawab bersama.
Penganjuran kejohanan ini mampu memberikan impak besar terhadap pembangunan sukan karom dan dart di Malaysia serta menjayakan misi Dasar Sukan Negara.
Kitalah yang akan menentukan sejauh manakah kegemilangan sukan itu serta perlu menyerlahkan menerusi kejohanan ini akan peningkatan prestasi sukan sekaligus mungkin siapa sangka kejayaan membangunkan atlet-atlet bertaraf kebangsaan dan dunia juga.
Adat bertanding ada menang dan kalah, tetapi yang penting ialah untuk memberi yang terbaik di dalam semangat kesukanan dan mengukur sejauh manakah usaha yang telah membuahkan kejayaan. Ianya juga perlu dijadikan pembakar niat untuk berusaha lebih gigih lagi di masa hadapan.
Semoga kejohanan ini akan memberi peluang kepada para peserta untuk memperbaiki persefahaman, kejituan perpaduan, dan solidariti sebagai sebuah keluarga sukan dart dan karom.