25 Februari 2024-Tahniah Pasukan Hoki 7 Sebelah, Sepak Takraw dan Dart Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kerana telah berjaya meraih gelaran juara untuk tiga acara dalam Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) 2024 (Fasa 1) yang berlangsung di Melaka pada 22/2/2024 hingga 25/2/2024.
MBI telah berjaya mengesahkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut bagi acara Hoki 7 Sebelah apabila menumpaskan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dengan keputusan 2-0 pada perlawanan akhir.
Bagi acara Sepak Takraw pula, MBI buat julung-julung kalinya telah berjaya merangkul kejuaraan apabila telah berjaya menumpaskan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dengan keputusan 2-1.
Pasukan Dart seterusnya melengkapkan hari yang gemilang buat MBI apabila menambah koleksi kejuaraan ketiga pada kejohanan Fasa 1 ini apabila menumpaskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam pertarungan sengit perlawanan akhir yang berkesudahan dengan kemenangan tipis 6-5.
Kemenangan ini menyaksikan pasukan Hoki 7 Sebelah, Sepak Takraw dan Dart MBI masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta medal dan piala iringan untuk setiap pasukan.
Gelaran juara ini telah memberikan suntikan semangat kepada kontinjen MBI untuk mengharungi acara-acara lain yang akan berlangsung sepanjang tahun ini.
Pada Kejohanan Sukan MALA Fasa 1 edisi 2024 ini, MBI telah menyertai 4 acara yang dipertandingkan termasuk Futsal serta turut menyertai acara Golf Amal dengan penglibatan keseluruhan 74 pegawai dan atlet.
Untuk makluman, Fasa 2 kejohanan ini akan dilangsungkan di Ipoh selaku tuan rumah pada bulan Mei 2024 yang mempertandingkan acara Ragbi dan Boling Padang.