07 FEBRUARI 2024-Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melakar kejayaan apabila merangkul dua kategori Anugerah Diamond dalam Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023 . Manakala, penganugerahan Sijil Provisional (Provisional Certificate) untuk 1Lasam turut diberikan atas usaha pembangunan data penanda aras dalam Kawasan zon rendah karbon.
Dengan kejayaan itu, MBI sekali gus menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tunggal di negeri Perak menerima pengiktirafan berkenaan di bawah inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC.
Penganjurannya bertujuan untuk meraikan dan mengiktiraf hasil usaha dan komitmen berterusan yang diberikan oleh kerajaan negeri, PBT, badan-badan kerajaan dan organisasi swasta dalam memajukan pembangunan bandar yang mampan dan rendah karbon di kawasan masing-masing menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (Low Carbon Cities 2030 Challenge - LCC2030C). Ia juga selaras dengan komitmen negara mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2030 dan menyokong aspirasi negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050.
Kejayaan yang dikecapi oleh MBI adalah berdasarkan kepada kategori Anugerah 4 Diamond Recognition iaitu Kategori Zon Bandar Rendah Karbon (Kawasan Perancangan Pusat) bagi pencapaian pengurangan pelepasan karbon dalam empat (4) elemen utama, iaitu tenaga, air, sisa, dan kehijauan, serta Anugerah 5 Diamond, Kategori Rakan Kongsi Rendah Karbon (Bangunan UTC PERAK) bagi pencapaian pengurangan pelepasan karbon dalam dua (2) elemen utama, iaitu tenaga dan air.
Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pengarah Perancangan Bandaraya, TPr Hj Mohd Zainal bin Abdul Hamid selaku wakil Datuk Bandar Bersama Penolong Pengarah Perancangan Bandaraya, En Abdul Afiq bin Muhamad telah menerima anugerah berkenaan sekali gus membawa pulang plak dan sijil penyertaan.
Semoga anugerah yang diperolehi tersebut akan menjadi pemangkin kearah menjadikan Ipoh sebagai sebuah Bandar Rendah Karbon 2030, serta melibatkan wargakota Ipoh secara aktif dalam melaksanakan pembangunan yang lestari , inklusif serta menggunakan teknologi hijau seterusnya mengeluarkan karbon rendah melalui penggunaan sumber efisien dan mengurangkan pembaziran di Bandaraya Ipoh.