3 September 2024-Tuan Ar. Zuhairi bin Manaf, Timbalan Ketua Pengarah (Perundingan dan Perundangan) Jabatan Kerajaan Tempatan telah mewakili Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan merasmikan Taklimat Pelaksanaan Inisiatif Baharu Proses dan Prosedur Kelulusan Pelan Pemajuan 3.0 Plus Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Zon Tengah (Selangor dan Perak) di Pusat Konvensyen Ipoh pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato’ Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Majlis Daerah Hulu Selangor, Pengarah-Pengarah Kanan, Ketua-Ketua Jabatan dan Unit MBI serta Pegawai-Pegawai dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Agensi Teknikal Luaran bagi Zon Tengah (Selangor dan Perak).
Jabatan Kerajaan Tempatan, KPKT telah memilih untuk bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sekali lagi sebagai urusetia bersama bagi melaksanakan sesi taklimat yang penuh bermanfaat ini. Ini merupakan tanda sokongan MBI kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) yang sentiasa berusaha menambah baik prosedur pelan pemajuan yang secara tidak langsung membawa kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti di dalam sektor pembinaan dan pembangunan di negara kita.
Bandaraya Ipoh, bandar tersohor di Negeri Perak merupakan ibu negeri dan pusat pentadbiran. IPOH atau sering digelar; I - Ini P - Pekan O - Orang H - Happy/ Handsome pernah dikenali sebagai salah satu hab industri perlombongan bijih timah terkemuka dan mempunyai banyak daya tarikan pelancongan. Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh sedang membawa halatuju baharu bagi Bandaraya Ipoh sebagai destinasi pelancongan yang menekankan kepada warisan budaya dan senibina. Selain itu, Ipoh juga memanfaatkan keindahan semulajadi berasaskan alam sekitar seperti Gunung Lang dan Tasik Cermin.
Berdasarkan Kajian Tourism Malaysia baru-baru ini iaitu Malaysian Outbound and Domestic Travel Behavior, Ipoh terpilih sebagai bandar yang mendapat kunjungan tertinggi oleh pelancong domestik berdasarkan kempen Cuti-Cuti Malaysia diikuti oleh Bandar Kuching, Kuantan dan Johor Bahru. Tersenarai juga pekan-pekan di Perak seperti Kuala Kangsar, Sitiawan, Taiping dan Teluk Intan.
'Ipoh White Coffee' juga telah diiktiraf antara 10 Kopi Terbaik Dunia menerusi laman web Taste Atlas. 'Ipoh White Coffee' telah disenaraikan sebagai salah satu kopi yang popular dalam kalangan masyarakat dunia. Minuman ini telah menduduki tempat ke-10 dalam senarai '39 Kopi Terbaik Di Dunia' yang diterbitkan pada 15 Mac 2024.
Inisiatif Jabatan Kerajaan Tempatan menganjurkan sesi taklimat ini merupakan satu platform yang terbaik bagi Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi Teknikal Luaran mendapatkan input berkenaan inisiatif baharu bagi menambah baik penyampaian proses dan prosedur pelan pemajuan. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengubah cara kerja lama bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan kelulusan pemajuan bagi memacu pembangunan di semua kawasan.
Penubuhan Unit Pusat Setempat (OSC) di semua PBT Semenanjung Malaysia telah menjangkau tempoh 17 tahun sejak mula diperkenalkan pada 2007 dengan objektif untuk menyelaras pelbagai permohonan pemajuan melalui satu sistem dan prosedur yang telus dan seragam. Fungsi dan peranan OSC kemudiannya telah diperkasakan lagi dengan terhasilnya Manual OSC 3.0 pada tahun 2014, yang menetapkan peranan OSC sebagai penyelaras dan pemantau proses pemajuan dari peringkat pertimbangan pelan sehingga bangunan layak diduduki, melalui enam (6) proses utama yang digariskan.
Dalam usaha meningkatkan keberkesanan dalam proses dan prosedur pelan pemajuan, JKT telah memilih Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama sepuluh (10) PBT lain iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Majlis Perbandaran Kulai (MPK), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) untuk melaksanakan tiga (3) inisitiaf baharu ini yang merupakan pilihan kepada permohonan kelulusan pelan pemajuan sedia ada di PBT dan ia telah diperluaskan kepada kesemua PBT di Semenanjung Malaysia.
Majlis Bandaraya Ipoh menyambut baik usaha KPKT di dalam mempelbagaikan lagi inisiatif baharu yang memberi nilai tambah kepada perkhidmatan PBT dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara khususnya melalui sektor pembinaan. Kepesatan proses perbandaran yang berlaku sepanjang tahun membawa bersama pelbagai cabaran baharu yang semakin kompleks yang perlu dipikul oleh PBT. Sebagai agensi pelaksana barisan hadapan, PBT perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan perancangan yang strategik untuk mendepani cabaran-cabaran semasa dan menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Selaras dengan itu, kita perlulah sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk memperkasakan sistem penyampaian PBT ke arah yang lebih cekap dan berkesan.
Semoga sesi taklimat ini akan dapat mencapai matlamat sebagai platform kepada semua yang terlibat untuk mendapatkan input dan mempelajari inisiatif Baharu Proses dan Prosedur Kelulusan Pelan Pemajuan 3.0 Plus dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mempercepatkan proses pelan pemajuan dan memudahcara perkhidmatan dapat dicapai.