2 Mac 2023 - Seramai 168 warga MBI telah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang tahun 2022 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh petang tadi.
Ia turut dihadiri oleh Ahli Majlis, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Majlis APC ini merupakan suatu bentuk penghargaan dan pengiktirafan di atas segala jasa dan sumbangan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam, baik dalam menjalankan tugas rasmi mahupun penglibatan aktif di dalam kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan.
Majlis Bandaraya Ipoh sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam dengan menyediakan pelbagai jenis anugerah atau ganjaran.
Melalui anugerah seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diharap dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan sepenuh perhatian dan daya usaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi.
Ini akan menjadikan perkhidmatan MBI kekal sebagai perkhidmatan yang diyakini oleh wargakota Ipoh, dan menepati kehendak dan ekspektasi mereka.
Pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan semua warga MBI untuk membuktikan keupayaan masing-masing bagi menghasilkan perkhidmatan yang terbaik.
Pemberian APC ini bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada anggota yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang semata-mata. Bahkan dalam skop yang lebih luas lagi, Anugerah ini merupakan satu langkah membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan MBI, khususnya dalam memastikan MBI kekal sebagai antara PBT Terbaik di Malaysia dengan penarafan 5 bintang serta Ipoh sebagai antara Bandar Terbersih di Malaysia.
Warga MBI diharap akan sentiasa menunjukkan prestasi kerja yang semakin berkualiti dan sentiasa menambahbaik mutu perkhidmatan yang disampaikan.
Pada masa yang sama, warga MBI juga perlu “Merakyatkan Perkhidmatan MBI”, agar menjadi penjawat awam yang prihatin kepada keperluan rakyat, rajin untuk turun padang dan sentiasa terbuka kepada maklum balas.
Semua ini penting kerana warga MBI merupakan tulang belakang kepada pembangunan negara, dan segala usaha yang dilaksanakan dalam tugasan harian sebagai penjawat awam menyumbang kepada kemajuan negara.
Segala pencapaian ini adalah hasil titik peluh bersama baik dari bermulanya menggubal dasar-dasar yang bersesuaian untuk memperkasakan Majlis Bandaraya Ipoh.
Warga MBI juga hendaklah memastikan dasar-dasar tersebut dilaksanakan dengan sempurna, mengikut perancangan, berintegriti, telus dan bertanggungjawab.
Setiap komitmen dan pencapaian cemerlang penerima APC perlu sentiasa dipertingkatkan agar dengan kesungguhan berkenaan dapat mendukung usaha MBI memajukan Bandaraya Ipoh khususnya dan negeri Perak amnya.
Semoga APC ini akan menjadi pendorong kepada warga MBI untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada wargakota Ipoh.