26 Februari 2023-Seramai 3000 wargakota Ipoh telah hadir menyertai program Ipoh Car Free Day pagi tadi.
Tema yang dipilih untuk Program Ipoh Car Free Day pada kali ini adalah sempena Hari Berfikir Sedunia (World Thinking Day). Dunia Kita, Masa Depan Kita Yang Aman (Our World, Our Peaceful Future) adalah tema Hari berfikir Sedunia 2023.
Antara aktiviti-aktiviti yang telah berlangsung pada program kali ini ialah acara Breakfast Fun Run & Walk yang melibatkan seramai 300 peserta.
Peserta yang berjaya menamatkan larian telah diberikan hadiah saguhati iaitu pingat dan sarapan pagi McDonald iaitu burger McD serta nasi lemak, minuman Milo,100 Plus dan air mineral.
Khemah-khemah pameran barangan produk Jabatan Kerajaan dan bukan kerajaan, badan-badan NGO dan orang perseorangan turut dibuka yang mempamerkan aktiviti menarik dan memenuhi objektif Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C) untuk mewujudkan komuniti yang mementingkan gaya hidup yg lebih bersih, hijau dan pintar.
Persatuan Gema Perak turut mengadakan acara whiteboard and sticky note yang menggalakkan pengunjung ICFD menyumbangkan idea masing-masing untuk mengurangkan pengeluaran karbon di dalam kehidupan harian.
Jabatan Korporat MBI pula telah melaksanakan Program Bertemu Pelanggan iaitu Kajian Kepuasan Pelanggan terhadap Majlis Bandaraya Ipoh melalui imbas QR Code. Program ini merupakan satu inisiatif untuk mendapatkan cadangan dan penambaikan terhadap perkhidmatan Majlis Bandaraya Ipoh.
PERKESO juga telah mengadakan aktiviti bertemu pelanggan dengan memperkenalkan Skim Pekerjaan Sendiri dan Skim Suri Rumah.
PDRM di bawah Unit AMANITA pula telah menyediakan pameran berkaitan langkah-langkah keselamatan kepada wanita seperti bagaimana untuk mereka menangani masalah atau sekiranya terdapat kes-kes jenayah yang menimpa mereka atau anak-anak perempuan mereka.
Kesemua acara dan aktiviti tersebut telah dihadiri dan disempurnakan perasmian oleh Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya mewakili Datuk Bandar Ipoh.