24 Jun 2023-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah melancarkan Kempen Kawalan Tikus di hadapan pintu masuk utama UTC Perak pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis MBI, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Kempen ini diadakan dalam usaha untuk membasmi urungan tikus Di Pasar-Pasar Awam Majlis Bandaraya Ipoh Tahun 2023.
Aktiviti kempen kawalan tikus ini telah mula dijalankan pada 6 Jun 2023 dan akan berlanjutan sehingga 31 Ogos 2023 walaubagaimanapun pelancaran kempen ini dilaksanakan pada hari ini.
Program pada pagi ini adalah salah satu aktiviti berterusan selaras dengan sasaran Ipoh Bandaraya Terbersih 2023. Pelaksanaan Pelan Tindakan Pemantauan Dan Kawalan Tikus (PTPKT 2.0) di Pihak Berkuasa Tempatan telah mula dilaksanakan pada tahun 2022 mengikut Pekeliling KSU. KPKT. Bil. 5/2017 iaitu Garis Panduan Kawalan Tikus di Pihak Berkuasa Tempatan.
Unit Kawalan Vektor, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI, telah memilih Pasar Besar Ipoh, Pasar Pasir Pinji dan Pasar Pasir Puteh untuk dijalankan kempen ini secara berfasa dan seterusnya ke semua pasar dan medan selera milik Majlis.
Tujuan Pelaksanaan Kempen Kawalan Tikus di Pasar-Pasar Awam Majlis Bandaraya Ipoh ini adalah untuk:-
i. Mencegah penularan pelbagai jenis penyakit bawaan tikus seperti Leptospirosis, Hawar (plaque), tifus, jangkitan cacing dan pelbagai jenis virus serta bakteria;
ii. Mengurangkan masalah infestasi (urungan) tikus di kawasan PBT meliputi Pasar Awam dan Medan Selera;
iii. Melaksanakan kajian indeks tikus, penilaian risiko persekitaran urungan tikus, Kajian KAP (Knowledge, Attitude & Practice) dalam kalangan peniaga serta merangka dan melaksanakan tindakan kawalan dan mitigasi.
Punca utama masalah urungan tikus di pasar-pasar awam adalah disebabkan oleh sisa jualan ikan, sayur dan buah-buahan, lubang (burrows) di persekitaran bangunan pasar, bekas-bekas penyimpanan polystyrene / kotak kadboard yang tidak bersih serta disimpan secara tidak teratur.
Oleh itu, peniaga-peniaga pasar awam perlu memberi kerjasama dalam menangani masalah urungan tikus ini dari segi aspek pelupusan sisa jualan ikan, sayur dan buah-buahan dengan cara membuang sisa jualan ke dalam karung plastik sampah dan mengikatnya dengan sempurna sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang berpenutup.
Kerjasama dan komitmen para peniaga bagi menjayakan kempen ini amat diperlukan dengan melaksanakan aktiviti pemasangan perangkap tikus yang dibekalkan dalam tempoh masa kempen serta sentiasa menjaga kebersihan persekitaran gerai pada setiap masa bagi membasmi urungan tikus di pasar-pasar awam.
Sehingga Mei 2023, Unit Kawalan Vektor telah memasang sebanyak 747 perangkap dan menangkap serta melupuskan sebanyak 117 ekor tikus di sekitar bangunan milik Majlis Bandaraya Ipoh termasuk pasar-pasar awam dan medan selera. Dalam tempoh pelaksanaan kempen di Pasar Besar Ipoh dari 6 Jun 2023 hingga 21 Jun 2023 pula, sebanyak 360 perangkap telah dipasang dan sebanyak 91 ekor tikus telah ditangkap.
Semoga kempen ini boleh memberi kesedaran kepada peniaga-peniaga di pasar-pasar awam serta orang awam dalam usaha untuk menjaga kebersihan persekitaran dan memastikan kawasan persekitaran kita bebas tikus.