17 Jun 2023 – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui URBANICE Malaysia telah mengadakan Majlis Perasmian Komuniti Hab di Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong, Ipoh, Perak petang tadi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Tuan Haji Suhaimi bin Ali@Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) mewakili YB Menteri KPKT. Majlis turut dihadiri Puan TPr. Ts. Norliza binti Hashim, Ketua Eksekutif URBANICE Malaysia, YB Thulsi a/p Manogaran, ADUN Buntong, Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI dan Puan Hajah Saidatul Akma binti Jamaludin, Pengarah Kanan-Kewangan MBI, Ahli Majlis, Ketua Jabatan MBI dan Pengurusan KPKT.
Projek Komuniti Hab ini merupakan salah satu usaha untuk memperkasakan komuniti yang sejahtera, inklusif dan berdaya tahan seiring dengan Agenda Mampan 2030. Ia memberi penekanan khusus terhadap komuniti B40 dalam memastikan kehidupan di bandar yang lebih sejahtera, berdaya huni dan mampan dalam menjalankan aktiviti seharian.
Sehingga kini, terdapat empat (4) buah Komuniti Hab yang telah dibangunkan iaitu di Kepong, Ampang Jaya, Durian Tunggal dan terbaharu di Buntong, Ipoh. Projek Komuniti Hab yang memberi penekanan khusus kepada pembangunan komuniti B40 ini telah memberikan manfaat kepada hampir 10,000 penduduk di kawasan berkaitan.
Inisiatif yang dikendalikan oleh URBANICE Malaysia ini turut mendapat sokongan penuh daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan penaja utama adalah daripada CIMB Foundation.
Selain itu Komuniti Hab ini turut mendapat sokongan dan penajaan daripada beberapa rakan strategik seperti KLK Land melalui MYReaders, AJM Planning & Urban Design Group (APUDG), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Perpustakaan Awam Negeri Perak, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kampus Seri Iskandar Perak, PORT Ipoh, Adab Youth Garage, Quest University dan orang perseorangan.
Pembangunan Komuniti Hab di Rumah Pangsa Taman Harmoni ini meliputi kontena dengan kemudahan perpustakaan mini dan ruang pembelajaran, sistem penuaian air hujan (SPAH), “art plaza”, projek Kebun Kita, inisiatif rendah karbon, kelas pembacaan dan literasi, penubuhan pasukan Bomba Komuniti serta “community low-income entrepreneur programme” yang menjadi nilai tambah dalam memperkasakan komuniti. Ia juga merupakan satu platform yang menggalakkan interaksi sosial yang sihat dan menjadi ‘showcase of community empowerment’ seiring dengan New Urban Agenda (Agenda Perbandaran Baharu) dan Sustainable Development Goals (Matlamat Pembangunan Mampan).
Kebun Komuniti atau Urban Farming merupakan antara elemen yang menjadi tarikan di Komuniti Hab ini. Ia membawa konsep memindahkan pertanian konvensional kepada pertanian bandar selain sebagai salah satu langkah intervensi jangka pendek yang bertujuan membantu penduduk untuk mengurangkan kos sara hidup melalui pengeluaran bahan makanan sendiri. Urban Farming ini turut diberi penjenamaan KEBUN KITA supaya penduduk mempunyai rasa pemilikan dan kebersamaan dalam mengusahakan aktiviti berkebun dengan menggunakan pendekatan penanaman Permaculture atau secara alami.
Pelaksanaan Komuniti Hab ini bakal memberi manfaat kepada hampir 1,850 orang penduduk di Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Ia juga merupakan salah satu platform kepada komuniti untuk saling berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
KPKT terus komited memperkasakan komuniti bandar melalui perancangan, pelaksanaan dan pembangunan program-program komuniti yang inovatif, strategik dan inklusif ke arah hidup yang sejahtera, berkualiti dan mampan.