18 Januari 2023-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh hadir meraikan 107 pesara MBI dalam Majlis Jasamu Dikenang 2021 di Casuarina@Meru Hotel petang tadi. Ia turut dihadiri oleh Puan Zuraina binti Kamarul Ariff, Setiausaha Bandaraya merangkap Wakil Pesara, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Ahli Majlis, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Seramai 107 pesara MBI yang diraikan tersebut terdiri daripada 83 bersara wajib, 1 bersara sebab kesihatan, 11 bersara pilihan dan 12 meninggal dunia pada tahun lalu yang diwakili oleh waris.
Majlis Jasamu Dikenang dianjurkan sebagai tanda penghargaan serta ucapan terima kasih yang tidak terhingga MBI atas segala khidmat bakti dan pengorbanan yang telah para pesara curahkan dengan penuh dedikasi sepanjang perkhidmatan mereka di MBI.
Khidmat bakti para pesara selama bertahun-tahun selama ini tidak boleh disamakan nilainya dengan hanya sebuah Jamuan Makan sahaja.
Majlis ini merupakan pengiktirafan dan tanda ingatan MBI kepada para pesara yang telah bersama-sama menyemai bakti menjadikan MBI antara Pihak Berkuasa Tempatan yang terbaik serta Ipoh antara bandar yang terbersih di Malaysia.
Semoga sumbangan bakti para pesara MBI yang telah banyak membantu kepada kecemerlangan MBI akan menjadi contoh kepada warga MBI yang masih berkhidmat.