18 Jun 2023-Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh ke-35, satu pertandingan bola sepak iaitu Pestabola Bandar Raya Piala Datuk Bandar Ipoh 2023 (Bawah 12 tahun) telah dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Pasukan Junior Perdana dari Selangor muncul juara setelah menewaskan pasukan Wameza dari Kelantan dalam perlawanan akhir dengan jaringan 1-0 di Stadium Perak, Ipoh jam 6 petang tadi.
Pasukan Junior Perdana mengamalkan taktik bola sepak 'ball possession' dan terbukti berhasil sehingga muncul juara.
Pengurusan Pasukan Junior Perdana mengucapkan terima kasih kepada penganjur atas kejohanan yang
terbaik setakat ini yang pernah mereka disertai dari segala aspek dan berharap ia dapat meningkatkan mutu bola sepak tanah air bermula akar umbi.
Pestabola Bandar Raya Piala Datuk Bandar Ipoh 2023 (bawah 12 tahun) ini telah disertai oleh 32 pasukan dari seluruh negara iaitu dari negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak terutamanya. Johan menerima hadiah wang tunai RM 3000.00, medal serta Piala Iringan.
Pertandingan ini telah diadakan selama 2 hari dan terdapat 2 kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Cup dan kategori Plate.
Pasukan Wameza yang menjadi naib juara menerima hadiah wang tunai RM 2000.00 berserta medal, pasukan ATKS dari Selangor yang meraih tempat ketiga menerima RM 1000.00 berserta medal dan pasukan Tambun Eagle di tempat keempat menerima RM 500.00 berserta medal.
Pemain
terbaik kejohanan telah dimenangi oleh adik Norizan Putra Syahrizal dari pasukan Junior Perdana manakala anugerah penjaga gol
terbaik dimenangi oleh adik Muhammad Ali Darwisy dari pasukan Wameza.
Y.Bhg. Dato Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.
Pertandingan Pestabola Bandaraya ini akan diteruskan setiap tahun kerana selain dapat mencungkil bakat-bakat muda di peringkat akar umbi, ia juga dapat membantu Kerajaan Negeri Perak mempromosikan pelancongan sukan melalui 'posting' yang melibatkan anak-anak seawal usia 12 tahun serta dapat merasai pengalaman berharga beraksi di dalam stadium.