17 Jun 2023-Sempena Sambutan Ulangtahun Bandaraya Ipoh ke-35, satu program From Ipoh With Love (FIWL) Explorace 2023 telah dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Pasukan SPARK muncul juara FIWL Explorace 2023 selepas berjaya menyelesaikan kesemua tugasan yang berakhir di Stadium Indera Mulia dalam tempoh kurang dari 5 jam.
Pasukan SPARK yang terdiri dari 3 orang ahli yang diketuai oleh Ira Syafarina binti Asrul Effendi berkata, kemenangan mereka mengatasi 64 pasukan lain adalah hasil persefahaman sesama ahli dan kepantasan merangka strategi.
“Kami mengamalkan sikap bekerjasama dengan mewakilkan tugas yang diberikan. Keserasian antara ahli adalah penting bagi menjamin kerjasama yang baik dan lancar.
“Terima kasih kepada MBI dan khususnya Datuk Bandar, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud atas penganjuran FIWL Explorace yang mencabar ini. Program ini berjaya mengetengahkan produk dan tempat pelancongan di Ipoh seperti Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village, Tambun Pomelo Go Chin Agro Farm, Lost World of Tambun, Little India, Taman Jepun dan lain-lain", katanya. Johan menerima hadiah wang tunai RM 1500.00.
Peserta diberi masa selama 7 jam 30 minit, bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang yang mana setiap pasukan perlu menyelesaikan lapan tugasan dalam tempoh tersebut.
Program dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh dengan pelepasan kenderaan di hadapan Dataran Bandaraya Ipoh pada jam 8.30 pagi tadi.
Pasukan Black Hawk telah menjadi naib juara dengan menerima hadiah wang tunai RM800.00 manakala pasukan Sekutu Yayang meraih tempat ketiga dan berjaya menerima hadiah wang tunai RM500.00.
Pemenang tempat keempat membawa pulang RM250.00, tempat kelima dengan wang tunai RM200.00, tempat keenam hingga kesepuluh RM150.00 setiap satu dan tempat kesebelas hingga kedua puluh dengan wang tunai RM100.00 setiap satu.
Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Sebelum itu, hadiah cabutan bertuah telah disampaikan oleh Encik Radin Amir Afifi bin Ahmad Aruani, Yang Dipertua Kelab Sukan Dewan Bandaraya Ipoh.
Program Explorace ini perlu diteruskan setiap tahun kerana selain sebagai aktiviti riadah yang sihat, ia juga dapat membantu kerajaan negeri mempromosikan produk pelancongan melalui posting media sosial yang dimuat naik oleh peserta.