Aktiviti & Berita

PROGRAM BUAL BICARA INTEGRITI BERSAMA PENGERUSI JAWATANKUASA PERUMAHAN & KERAJAAN TEMPATAN NEGERI PERAK

10 Februari 2023-Dalam usaha untuk memperteguhkan nilai-nilai integriti dan menyatakan pendirian Majlis dalam agenda memerangi rasuah dan sebarang risiko atau kos yang terselindung berkaitan dengan kegiatan rasuah dalam perkhidmatan Majlis, MBI julung-julung kalinya telah mengadakan Program Bual Bicara Integriti Bersama YB Puan Sandrea Ng, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan MBI pagi tadi.

Ia turut dihadiri oleh AhliMajlis MBI, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
 
Warga MBI sentiasa mengambil berat isu berkaitan rasuah. Pelbagai aktiviti telah dirancangkan dan dilaksanakan oleh Pengurusan Majlis, antaranya taklimat integriti, ceramah berkaitan kesan penyalahgunaan rasuah, hebahan bahan cetakan dan sebagainya. Di antara pencapaian dan usaha-usaha yang telah dan akan dilaksanakan bagi mengekang perlakuan rasuah di Majlis adalah:

1.    Pelan Anti Rasuah Organisasi MBI 2021-2025 yang     dilancarkan pada 2 September 2021;

2.    Merangkul Gangsa dalam Anugerah Integriti,     Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 pada 17     Januari 2023;

3.    Peningkatan imej Majlis menerusi pengiktirafan     profesionalisme Pegawai Majlis melalui penglibatan     aktiviti atau pekerjaan luar;

4.    Pengisytiharan harta penjawat awam diteruskan     dan diperluaskan kepada semua gred;

5.    Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) untuk pegawai-pegawai integriti;

6.    Pensijilan semula MS ISO 37001: 2016 Anti Bribery     Management Systems (ABMS) yang dijangka akan dilancarkan pada 2024;

7.    Meneruskan program-program pengukuhan integriti     yang berkualiti untuk terus membimbing dan     menerapkan nilai-nilai positif dalam diri kakitangan     awam dan swasta negeri.
    
Perbuatan rasuah bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, malahan sebarang bentuk pemberian atau tajaan yang mendorong seseorang individu untuk melakukan atau tidak melaksanakan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi sebagaimana yang telah diamanahkan kepadanya.

Selain itu, perlu difahami bahawa salah guna kuasa pula berlaku apabila seseorang individu menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan. Ia juga sebenarnya merupakan perbuatan rasuah yang perlu ditolak dan dicela.

Dalam ucapan aluan, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya yang mewakili Datuk Bandar Ipoh menyatakan bahawa MBI tidak akan sesekali melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah.

Menurut beliau lagi, sebarang bentuk ketirisan wang awam yang disebabkan oleh perlakuan rasuah akan dihentikan serta-merta dan tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil. MBI juga tidak akan berkompromi dengan pelaku-pelaku rasuah dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM supaya sesiapa yang didapati bersalah, perlu menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.    

Tidak kira walau apa jua agama, aktiviti rasuah amat keji dan dibenci, manakala daripada segi moral, perbuatan memberi dan menerima rasuah adalah tidak berintegriti. Individu yang dihukum atas kesalahan rasuah bukan sahaja dibenci, malahan keluarganya turut akan dihina.

Perbuatan rasuah juga akan menyebabkan imej, persepsi dan kepercayaan masyarakat terjejas kepada sesuatu organisasi. Bak kata pepatah, ‘Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga’.

Semoga warga MBI akan menjauhi perbuatan rasuah demi menjaga imej baik diri sendiri, keluarga dan MBI dalam mencari rezeki yang halal lagi diberkati serta sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima dengan bekerja bersungguh-sungguh dan berusaha memajukan diri dengan kudrat sendiri.

WhatsApp Image 2023 02 10 At 124003
WhatsApp Image 2023 02 10 At 124004
WhatsApp Image 2023 02 10 At 124004 1
WhatsApp Image 2023 02 10 At 124005
WhatsApp Image 2023 02 10 At 124005 1
WhatsApp Image 2023 02 10 At 124005 2
WhatsApp Image 2023 02 10 At 124006
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 17/08/2026.
  • Jumlah Pelawat 7030580