15 Januari 2023-Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah di kalangan wargakota Ipoh bagi meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih dalam usaha untuk merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia pada tahun 2023 telah mula dijalankan pada April 2021 seterusnya ditangguhkan beberapa bulan kerana Pandemik Covid 19 dan diteruskan semula pada Februari 2022 sehingga kini.
Dari April 2021 hingga Disember 2022 sebanyak 46,656 tong sampah telah diedarkan kepada wargakota Ipoh.
Sejumlah 741 unit tong sampah telah diagihkan oleh YB Jenny Choi Tsi Jen, ADUN Canning merangkap Timbalan Speaker DUN Perak dan YB Howard Lee Chuan How, Ahli Parlimen Ipoh Timur kepada para penduduk di Taman Ipoh Timur hari ini yang melibatkan sebanyak 5 buah lori di Padang Ipoh Timur (Lebuh Perajurit 3) pagi tadi. Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh.
Semua agama sangat mementingkan soal aspek kebersihan dan kesihatan. Oleh itu, wargakota Ipoh perlu menitikberatkan penjagaan kebersihan dan mewujudkan suasana persekitaran yang selesa.
Selepas penyerahan tong sampah di Zon 13 khususnya di Taman Ipoh Timur ini dilaksanakan, pemantauan akan terus dijalankan untuk menjadikan kawasan Taman Ipoh Timur ini sebagai antara zon contoh.
Mulai pagi ini juga, kempen kebersihan ini akan digerakkan di seluruh kawasan Taman Ipoh Timur untuk menggalakkan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar.
Hasrat Majlis Bandaraya Ipoh untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera serta Bandar Terbersih di Malaysia tidak hanya memadai dengan penyediaan perkhidmatan, infrastruktur dan kemudahan awam kepada masyarakat sebaliknya masyarakat perlu dididik untuk berubah kearah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar.
Melalui program ini diharap dapat mewujudkan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan serta menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai suatu budaya seawal dari rumah dan seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan dan keindahan persekitaran.
Semoga program pada pagi ini akan menjadi titik tolak untuk mencapai matlamat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia pada tahun 2023 dan Bandaraya Bestari Sejahtera tahun 2030.