31 Disember 2022-YAB. Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan telah merasmikan program Starvendors Foodtival X #TravelPeraklah 2022 serta melancarkan Tahun Melawat Ipoh 2023 malam tadi.
Walaupun tiada sebarang acara Sambutan Ambang Tahun Baru seperti mana pengumuman Perdana Menteri pada minggu lepas, namun ia tetap mendapat sambutan yang hebat pengunjung khususnya wargakota Ipoh.
Penganjuran acara ini adalah hasil kerjasama di antara Tourism Perak, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Star Vendors Event Sdn Bhd serta bantuan agensi-agensi lain seperti Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Negeri Perak (JKKN), Rela dan lain-lain lagi.
Melalui program yang berlangsung selama 3 hari, bermula 30 Disember 2022, seramai 188 usahawan dari seluruh Malaysia telah mengambil bahagian. Sesi padanan pencapaian dan kepelbagaian perniagaan yang terbentuk ini sebagai usaha membantu menjana pendapatan dan ekonomi mereka selain menggalakkan kehadiran pelancong ke bandar raya Ipoh.
Berkenaan dengan Pelancaran Tahun Melawat Ipoh 2023 yang turut dilancarkan pada malam tadi, ia merupakan showcase kepada Tahun Melawat Perak 2024 dan Tahun Melawat Malaysia 2025.
Menerusinya MBI telah mengatur 22 acara pelancongan bagi tahun 2023, dengan penekanan yang diberikan terhadap segmen pelancongan 3H iaitu Hipster, Heritage, dan Health.
Selain daripada itu, pemilihan Lebah sebagai ikon sempena Tahun Melawat Ipoh 2023 adalah disebabkan ciri serangga tersebut yang memiliki warna sesuai dan berpadanan dengan bendera Negeri Perak selain ia merupakan serangga yang melambangkan sifat harmoni, bersih dan rajin serta saling bantu membantu antara satu sama lain.
Mengimbas kembali kejayaan negeri Perak dalam sektor pelancongan sekitar 10 tahun lepas, pelbagai anugerah di peringkat domestik dan antarabangsa telah berjaya diperolehi antaranya:
- LENGGONG AS BEST ECO TOURISM DESTINATION BY MALAYSIA TOURISM INDUSTRY AWARDS PADA 16 DISEMBER 2022
- PERAK AS BEST SAFER DESTINATION BY MALAYSIA TOURISM COUNCIL GOLD AWARD IN 2021
- TAIPING AS 3RD MOST SUSTAINABLE CITY IN THE WORLD IN 2019 AND TOP 100 SUSTAINABLE DESTINATION IN 2018
- THE LENGGONG VALLEY UNESCO WORLD HERITAGE SITE PADA 2016
Selain daripada kejayaan negeri Perak, bandar raya Ipoh juga telah diangkat dan mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa antaranya :
- ANTARA 3 BANDAR KOPI TERBAIK DI ASIA OLEH NEW YORK TIMES AND LONELY PLANET 2019 (TOP 3 BEST COFFEE TOWN IN ASIA BY NEW YORK TIMES AND LONELY PLANET 2019)
- ANTARA 10 DESTINASI TERBAIK UNTUK MENCUBA MAKANAN TEMPATAN OLEH BOOKING.COM 2018 (TOP 10 DESTINATION TO TASTE LOCAL FOOD BY BOOKING.COM IN 2018
- DI UNDI ANTARA 9 TEMPAT TERBAIK UNTUK DILAWATI DI ASIA OLEH LONELY PLANET 2016 (VOTED 9TH THE BEST PLACES IN ASIA TO VISIT IN 2016 BY LONELY PLANET)
Terkini, bandar raya Ipoh telah dipilih sebagai ‘antara 18 lokasi Underrated Oleh Cnn Travel List’. Pemilihan ini secara tidak langsung dapat mempromosikan bandar raya Ipoh di dunia dan bertepatan dengan Tahun Melawat Ipoh 2023.
Kerajaan negeri akan terus mempergiatkan lagi promosi produk dan destinasi pelancongan sedia ada dan baharu di Perak. Selain inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, bantuan dan sokongan daripada orang ramai juga amat dialu-alukan untuk bersama-sama membantu dalam meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
Tanpa kerjasama dan sokongan padu orang ramai khususnya rakyat negeri Perak, segala matlamat yang diimpikan tidak akan tercapai dengan jayanya.