Ipoh, 21 Jun – Seramai 9 orang pelajar dari beberapa sekolah menengah di sekitar Ipoh, berumur antara 16 hingga 18 tahun, telah terpilih untuk menyertai Program Pertukaran Pelajar Bandaraya Ipoh – Kota Medan yang akan berlangsung mulai 23 Jun hingga 29 Jun 2025.
Majlis penyerahan sijil penyertaan dan taklimat program kepada pelajar-pelajar terpilih telah berlangsung di Bilik VIP, UTC Perak. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Komuniti Bandaraya, Encik Romzi Zamri, yang turut memberi amanat dan taklimat ringkas mengenai objektif dan garis panduan program.
Kesemua pelajar terlibat terdiri daripada 7 pelajar lelaki dan 2 pelajar perempuan, dan akan diiringi oleh dua orang Pegawai Pengiring dari MBI.
Para pelajar akan tinggal bersama keluarga angkat yang dipilih khas bagi memberi pengalaman budaya secara langsung serta memupuk nilai kekeluargaan merentas sempadan.
Program ini dianjurkan sebagai satu inisiatif bagi memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua bandaraya, Ipoh dan Medan, yang telah menjalin kerjasama sebagai bandaraya persahabatan sejak 2009. Pelaksanaan program ini dikendalikan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh dan Pejabat Wali Kota Medan yang berperanan sebagai penyelaras utama di kedua-dua buah negara.
Menurut Encik Romzi, “Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman antarabangsa, malah memperluas wawasan mereka terhadap budaya dan kehidupan masyarakat di luar negara. Diharapkan ia dapat mewujudkan jaringan hubungan jangka panjang antara generasi muda kedua-dua bandaraya.”