Ipoh, 22 November 2026 – Lima pengisian utama berteraskan kesihatan, rekreasi dan kelestarian alam sekitar memeriahkan penganjuran Ipoh Low Carbon Day (ILCD) Siri Ke-90 anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Penganjuran program ini telah menarik kehadiran kira-kira 1,500 pengunjung dalam acara yang berlangsung di Jalan Sultan Abdul Jalil, Dataran Bandaraya Ipoh, hari ini.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah Larian Santai MyChampion 5KM sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2026 yang menghimpunkan seramai 471 peserta. Pelepasan larian disempurnakan oleh Dr. Husna Maizura binti Ahmad Mahir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak (Kesihatan Awam) bersama Tuan Haji Mohd Zainal bin Abdul Hamid, Pengarah Perancangan Bandar MBI, dengan diiringi barisan pegawai kanan MBI.
Program turut dimeriahkan dengan senamrobik komuniti kendalian Team Artari, pertandingan peragaan pakaian bertemakan Retro dan Futuristik serta pertandingan mewarna yang disertai 150 kanak-kanak sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia. Selain itu, pameran agensi kerajaan, saringan kesihatan percuma dan kempen pemuliharaan alam sekitar turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Penganjuran kali ini merupakan siri keenam dan terakhir bagi tahun 2026, sekali gus melengkapkan 90 siri pelaksanaan sejak inisiatif rendah karbon tersebut diperkenalkan pada Oktober 2015.
Pencapaian ini memperlihatkan komitmen berterusan MBI dalam memperluas penglibatan masyarakat melalui pelaksanaan program yang mengintegrasikan aspek kesihatan, kesejahteraan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar.