Ipoh, 21 November 2026 – Suasana malam minggu di bandar raya Ipoh terus diserikan dengan penganjuran Ipoh Galau 2026 yang mengetengahkan persembahan muzik sebagai wadah hiburan dan rekreasi masyarakat.
Acara yang berlangsung di Amphitheater @ Laman Sejahtera, Taman D.R. Seenivasagam, Ipoh, itu memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati persembahan muzik dalam suasana santai dan harmoni.
Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Komuniti dan Kemasyarakatan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu turut menjadi platform untuk menggalakkan interaksi sosial, mengeratkan hubungan komuniti serta memupuk apresiasi terhadap seni muzik.
Pengunjung dihiburkan dengan persembahan hampir 20 buah lagu bertemakan galau, selain persembahan tarian oleh Kumpulan Gema Warisan Budaya MBI yang turut memeriahkan acara berkenaan.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MBI dalam memartabatkan seni dan kebudayaan, sekali gus memperkukuh daya tarikan Ipoh sebagai bandar raya yang progresif, beridentiti budaya dan menawarkan kepelbagaian aktiviti rekreasi kepada masyarakat.