Kuala Kangsar, 22 November 2026-DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) 2026.
Turun berkenan berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Berangkat sama putera dan puteri baginda, YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta YTM Raja Nazira Safya binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan adinda baginda, YTM Raja Dato' Seri Eleena binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah serta YTM Raja Dato’ Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
Hadir sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; Dato' Seri Ismail Farouk bin Dato' Abdullah; YTM Tuanku Dato' Seri Kamel bin Tuanku Rijaludin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato' Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Seri Aznee binti Abu Samah serta YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad.
Turut hadir, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak; YBhg. Dato’ Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Larian yang bermula seawal jam 6.45 pagi itu disertai seramai 10,014 peserta bagi memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Nazrin yang ke-70 pada 7 November lalu.
Acara dimulakan dengan pelepasan peserta kategori 15 kilometer (km) melibatkan 4,741 orang yang disempurnakan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Dataran Pavilion pada jam 6.45 pagi. Baginda kemudiannya berkenan melepaskan peserta bagi kategori 10km dan 7km yang masing-masing melibatkan 3,372 dan 1,898 peserta secara serentak pada jam 7 pagi.
Sementara itu, kategori 3km melibatkan tetamu kehormat terdiri daripada orang besar jajahan, exco kerajaan negeri dan ketua jabatan dilepaskan oleh adinda baginda, YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan turut berkenan meluangkan masa bersama rakyat dengan berjalan kaki sejauh lebih lima kilometer sambil mengunjungi tujuh lokasi persinggahan yang menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan dan kesenian.
Selesai acara larian, baginda berdua berkenan menghadiri acara santapan dan menikmati persembahan oleh Kumpulan Stomp dan Percussion Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Kumpulan Selendang Perak dan persembahan tarian perang Senoi Praaq daripada Batalion 3, PGA Bidor.