Ipoh, 25 November 2026 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Kejohanan Hoki Lelaki Antarabangsa Piala Sultan Azlan Shah Edisi Ke-32 Tahun 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak.
Hadir sama ialah YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak dan YB Dato’ Khairudin bin Haji Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan cenderamata kepada agensi yang terlibat dalam penganjuran kejohanan serta menerima cenderamata daripada pasukan yang bertanding. Majlis diteruskan dengan santapan malam yang diserikan dengan persembahan pentas.
Kejohanan yang berlangsung dari 20 hingga 28 November 2026 di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh itu menyaksikan penyertaan enam pasukan dari Australia, Korea Selatan, Kanada, Pakistan, Amerika Syarikat dan Malaysia selaku tuan rumah.