6 Februari 2026– Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkukuh hala tuju pembangunan bandar raya melalui pelaksanaan Bengkel Pelan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh, selaras dengan visi menjadikan Ipoh sebagai Bandar Wilayah Pintar berteraskan Ekosistem Mampan dan Bestari Sejahtera menjelang tahun 2030.
Dalam ucapan perasmian bengkel tersebut, kepimpinan MBI menegaskan bahawa Pelan Strategik MBI 2021-2030 bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya menjadi kompas pembangunan bandar raya yang menyeluruh, mampan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Pelan ini turut disokong oleh beberapa penandaarasan utama antaranya:
1.Ipoh sebagai Bandar Raya Terbersih di Malaysia (2023);
2.Ipoh sebagai Bandar Raya Pelancongan Utama Negara (2025);
3.Penyediaan infrastruktur digital dan fizikal terbaik (2027);
4.Ipoh sebagai Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon (2030);
5.Ipoh sebagai Bandar Bestari Sejahtera dan Bandar Berpendapatan Tinggi (2030).
MBI turut mengangkat aspirasi Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan setiap pelaksanaan pelan strategik diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar dirasai oleh wargakota.
Memetik kata-kata YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad:
“Rakyat menilai kejayaan melalui apa yang rakyat RASA, bukan apa yang rakyat BACA.”
Sehubungan itu, MBI memberi penekanan bahawa kejayaan bukan diukur melalui laporan semata-mata, tetapi melalui pengalaman harian rakyat terhadap perkhidmatan majlis.
Dalam memastikan semua keutamaan bandar dapat dilaksanakan dengan berkesan, MBI akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hasil dan keupayaan kewangan majlis, termasuk melalui tiga pendekatan utama:
1.Memperkemas hasil sedia ada melalui penambahbaikan tadbir urus, pematuhan dan kecekapan proses, khususnya melibatkan hasil perlesenan dan caj pemajuan;
2.Meningkatkan kutipan tunggakan cukai taksir melalui pengesanan, pemutihan data, pelan kutipan berfasa, kemudahan bayaran serta penguatkuasaan berhemah;
3.Meneroka hasil baharu yang lebih mampan melalui inovasi, pendigitalan dan kerjasama strategik untuk memastikan ruang fiskal mencukupi bagi meningkatkan perkhidmatan bandar.
MBI turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan yang berjaya memperoleh peruntukan sumber luar pada tahun 2025 daripada pelbagai agensi seperti KPKT, MOTAC, UPEN, Kementerian Ekonomi, MIDA dan lain-lain.
Pencapaian ini membuktikan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan yang proaktif, berdaya saing dan mampu membawa pulang manfaat nyata kepada bandar raya dan rakyat.
MBI menegaskan bahawa semua pegawai Majlis perlu memahami bahawa peranan di MBI adalah amanah rakyat, dan keutamaan perkhidmatan mestilah berteraskan nilai cepat, telus, mesra dan berintegriti.
Setiap program yang dilaksanakan juga mesti memberi impak kepada wargakota, bukan tertumpu kepada kepentingan dalaman semata-mata.
Walaupun Ipoh terus bergerak ke arah bandar pintar dan mampan, MBI menegaskan bahawa penilaian rakyat masih bertumpu kepada aspek asas yang paling dekat dengan kehidupan harian.
Enam perkara utama yang menjadi “cermin” kepada wargakota ialah:
SAMPAH, JALAN, LONGKANG, RUMPUT, LAMPU dan POKOK.
MBI akan memastikan:
1.Pengurusan sampah lebih cekap dan bersih serta diperkasa dengan program kitar semula;
2.Jalan raya disenggara secara proaktif dan selamat;
3.Longkang serta saliran berfungsi baik bagi mengelak banjir kilat;
4.Rumput dipotong mengikut standard dan tidak menjadi risiko keselamatan;
5.Lampu jalan berfungsi dengan baik serta respons pembaikan lebih pantas;
6.Pengurusan pokok dan landskap lebih strategik demi keselamatan dan keindahan bandar.
MBI yakin bengkel ini akan menjadi ruang penting untuk menyelaras keutamaan, memperkemas pendekatan dan menetapkan komitmen bersama supaya MBI bukan sahaja cemerlang di atas kertas, tetapi cemerlang pada pengalaman yang rakyat rasai setiap hari.
Bengkel tersebut telah dirasmikan dengan lafaz "Bismillahir Rahmanir Rahim" sebagai simbol permulaan komitmen baharu MBI dalam memperkasa pengurusan bandar raya.