Ipoh, 14 Ogos 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus terbaik melalui penganjuran Bengkel Semakan Prestasi Pematuhan, Pengurusan Ketidakakuratan dan Analisis Punca bagi serta Cadangan Perluasan Skop Pensijilan ABMS 37001:2016 yang berlangsung pada 13 dan 14 Ogos 2025 di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, MBI.
Bengkel ini dirasmikan oleh Setiausaha Bandaraya, YBrs. Tuan Ahmad Munir bin Ishak, dan turut dihadiri oleh panel juruperunding, Ketua-Ketua Jabatan serta wakil-wakil jabatan MBI.
Dalam ucapannya, Tuan Ahmad Munir menegaskan bahawa pelaksanaan Anti-Bribery Management System (ABMS) berasaskan piawaian MS ISO 37001:2016 bukan sekadar memenuhi keperluan pensijilan, tetapi bertujuan membudayakan nilai integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap aspek kerja.
“MBI tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa atau tindakan yang boleh menjejaskan reputasi organisasi ini,” tegas beliau.
Beliau memaklumkan bengkel ini merupakan platform penting untuk menilai prestasi pelaksanaan ABMS, mengenal pasti ruang penambahbaikan, serta merangka tindakan susulan berasaskan teguran yang diterima daripada pihak SIRIM semasa audit pada 3 dan 4 Julai 2025 lalu.
Sejak memperoleh pensijilan MS ISO 37001:2016, MBI telah mencatat kemajuan dalam penambahbaikan proses kerja, pelaporan isu integriti, serta pemantauan dalaman yang lebih sistematik. Namun, beliau mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan, khususnya dalam menangani ketidakpatuhan yang dikenal pasti.
MBI telah memperolehi persijilan ABMS 37001:2016 pada Julai 2024 bagi skop PEROLEHAN. Namun usaha Majlis tidak akan berhenti setakat itu sahaja. Atas komitmen yang berterusan daripada pihak pengurusan, pihak Majlis berhasrat untuk memperluaskan skop ABMS ini kepada perkara-perkara yang meliputi isu perancangan, pelaksanaan projek dan penguatkuasaan, selari dengan perkhidmatan teras MBI yang dianggap berisiko tinggi dan mudah terdedah kepada berlakunya salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
“Kejayaan kita bukan diukur melalui dokumen atau sijil semata-mata, tetapi melalui keupayaan membina organisasi yang benar-benar kebal daripada rasuah dan berteraskan integriti,” tambah beliau.
Beliau berharap agar bengkel ini menghasilkan cadangan yang tuntas, praktikal dan bersifat membina demi meningkatkan keberkesanan ABMS di MBI, seterusnya memberi manfaat besar kepada organisasi dan masyarakat.