3 Oktober 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)0 dengan kerjasama Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. (PEISB) telah menganjurkan Bengkel Transformasi & Penyelarasaan Pengoperasian Kerja Rutin Tahun Ke-7 Seksyen Ipoh dari 1 hingga 3 Oktober 2025.
Bengkel ini telah menghimpunkan seramai 34 orang peserta, terdiri daripada 22 orang wakil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melibatkan Jabatan Kerja Awam (Bahagian Jalan, Saliran dan Lalulintas) serta beberapa jabatan dalaman lain dan 12 orang wakil daripada Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. (PEISB).
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk menjadi platform memperkenalkan diri, membina hubungan profesional dan memperkukuh kerjasama antara MBI dan PEISB, memberi penerangan terperinci mengenai skop kerja PEISB pada Tahun Ke-7 serta meningkatkan kefahaman semua pihak yang terlibat serta merancang dan menyusun atur program kerja rutin penyelenggaraan jalan-jalan MARRIS.
Selain itu, bengkel turut disertai oleh wakil daripada beberapa jabatan dalaman MBI seperti Jabatan Pelesenan, Jabatan Taman dan Lanskap, serta Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran.
Majlis Perasmian Penutup Bengkel ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari Bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh. Kehadiran beliau menzahirkan sokongan padu MBI terhadap usaha berterusan memperkukuh pengurusan serta pelaksanaan kerja rutin penyelenggaraan infrastruktur demi kesejahteraan warga bandar raya Ipoh.