Ipoh, 5 Ogos 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, telah menghadiri Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” kepada Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Negeri Perak 2026 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, dengan penyerahan bendera negeri kepada Ketua Kontinjen Negeri Perak bagi membawa cabaran negeri dalam temasya SUKMA dan Para SUKMA 2026.
Turut hadir ialah YB Dato’ Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Ketua Kontinjen Para SUKMA Negeri Perak 2026; barisan pengurusan pasukan, jurulatih, pegawai serta para atlet.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk pasukan SUKMA dan Para SUKMA, diikuti nyanyian lagu Negaraku dan Lagu Kebesaran Negeri Perak, bacaan doa, ikrar atlet serta acara penyerahan bendera kontinjen.
Kehadiran YBhg. Datuk Bandar Ipoh mencerminkan sokongan berterusan Majlis Bandaraya Ipoh terhadap usaha Kerajaan Negeri Perak dalam membangunkan sektor sukan serta melahirkan atlet yang berdaya saing, berdisiplin dan mampu mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan.
Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada seluruh Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perak 2026. Semoga para atlet dapat memberikan persembahan terbaik, menjunjung semangat kesukanan serta membawa pulang kejayaan buat Negeri Perak.
“Belang Tarung Tiga Warna”
Perak Boleh!