Ipoh, 6 Ogos 2025 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, bersama Ahli-Ahli Majlis serta Ketua-Ketua Jabatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menghadiri Program Bicara Eksekutif Perak Sejahtera 2030: YAB Menteri Besar Perak Bersama Ahli Majlis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berlangsung di Galasa Caldwell, Ipoh.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak telah menyampaikan amanat serta aspirasi pembangunan jangka panjang negeri selaras dengan hala tuju Pelan Perak Sejahtera 2030.
Majlis turut diserikan dengan ucapan aluan oleh YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak.
Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan komprehensif mengenai Pelan Perak Sejahtera 2030 – sebuah kerangka pembangunan negeri yang inklusif, mapan dan berorientasikan rakyat, digagaskan oleh YAB Menteri Besar. Pelan ini menjadi panduan strategik ke arah menjadikan Perak sebuah negeri yang lebih sejahtera, mampan dan berdaya tahan menjelang tahun 2030.
Turut hadir, barisan Ahli Majlis, Yang Dipertua (YDP), Setiausaha dan Ketua-Ketua Jabatan daripada pelbagai PBT seluruh negeri. Kehadiran ini membuka ruang kerjasama strategik antara agensi serta memperkukuh pelaksanaan dasar kerajaan secara menyeluruh dan bersepadu.
Dalam majlis yang sama, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut menerima penghargaan atas penganugerahan Scroll of Honour UN-Habitat sebagai pengiktirafan terhadap komitmen berterusan MBI dalam melaksanakan pembangunan tempatan yang mampan dan berimpak tinggi.
Anugerah berprestij ini mengiktiraf peranan Ipoh sebagai sebuah "Bandar Donut", bandar regeneratif yang menekankan keseimbangan antara kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi yang inklusif.