Ipoh, 19 Julai 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, telah menghadiri Majlis Peluncuran Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2026 yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan; serta YB Dato’ Seri Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2026.
Turut hadir ialah barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan, wakil agensi kerajaan serta para tetamu kehormat.
Acara kemuncak majlis menyaksikan ucapan peluncuran oleh YAB Perdana Menteri, diikuti dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang, nyanyian lagu Negaraku serta lafaz Ikrar Rukun Negara.
Majlis turut dimeriahkan dengan tayangan video khas, persembahan kebudayaan dan kesenian serta peluncuran JAGO@Merdeka sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh jati diri dan meningkatkan kecintaan terhadap negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Penganjuran majlis ini menjadi pembuka tirai kepada pelbagai program dan aktiviti sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2026 di seluruh negara.
Sambutan berkenaan turut menjadi platform penting untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia menghayati erti kemerdekaan, menghargai pengorbanan para pejuang terdahulu, memperkukuh perpaduan serta bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga.
Kehadiran Datuk Bandar Ipoh mencerminkan sokongan dan komitmen berterusan Majlis Bandaraya Ipoh dalam menjayakan agenda nasional, di samping menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan warga bandar raya Ipoh.