Ipoh, 21 Julai 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, hari ini telah menghadiri Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Kali Ke-8 (WCIT 2026) yang berlangsung di Casuarina@Meru Hotel, Ipoh.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari, bermula 21 hingga 23 Julai 2026 itu mengangkat tema “Where Everyone Matters: Pride and Unity in Islam” atau “Di Mana Setiap Insan Dihargai: Kebanggaan dan Kesatuan dalam Islam”.
DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak Darul Ridzuan, berkenan mencemar duli berangkat ke persidangan tersebut.
Turut hadir ialah YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, tokoh akademik, cendekiawan Islam serta para peserta dari dalam dan luar negara.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak turut berkenan menyampaikan Titah Diraja serta menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan berkenaan.
Persidangan anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu menjadi platform penting bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pemikiran Islam, pentadbiran, pembangunan masyarakat dan peradaban melalui beberapa sesi akademik serta perbincangan panel.
Antara topik yang diketengahkan termasuk keberkesanan sosial dan kerajaan, pembangunan dan kerjasama ekonomi, tadbir urus baik dan kestabilan politik, kesihatan awam, integriti nasional, keselamatan serta pembentukan masyarakat yang inklusif dan mampan.
Penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa ini turut memperkukuh kedudukan Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang berupaya menjadi pusat pertemuan ilmu, percambahan pemikiran dan wacana ketamadunan sejagat, selaras dengan aspirasi Ipoh Bandar Raya Bestari Sejahtera.