Ipoh, 20 Ogos 2026 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, hari ini menghadiri Program “Invest in Perak Day” 2026 yang berlangsung di Casuarina Convention Centre (CCC), Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.
Program berprestij yang menghimpunkan pemain industri, pelabur dan rakan strategik ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.
Turut hadir, YB Dato’ Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang turut menyampaikan ucapan khas sempena program tersebut.
Penganjuran “Invest in Perak Day” 2026 merupakan platform strategik dalam memperkukuh ekosistem pelaburan negeri, di samping membuka ruang kepada pembentukan jaringan dan kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, agensi berkaitan, pemain industri serta komuniti perniagaan.
Kehadiran Datuk Bandar Ipoh mencerminkan komitmen berterusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam menyokong usaha Kerajaan Negeri Perak untuk memperkukuh daya saing ekonomi, sekali gus meningkatkan daya tarikan Ipoh dan Negeri Perak sebagai destinasi pelaburan yang strategik, kondusif dan berdaya saing.
Usaha memperkasa sektor pelaburan dan pembangunan industri ini turut selari dengan aspirasi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf dan kesejahteraan hidup rakyat.
MBI akan terus memberikan sokongan terhadap inisiatif yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh kedudukan Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang progresif, berdaya saing dan mesra pelabur.