Ipoh, 15 Julai 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus komited dalam memperkukuhkan budaya kerja yang selamat dan sihat menerusi penganjuran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-Week) Peringkat MBI Tahun 2025 yang telah dilancarkan oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh di Bilik Gerakan MBI, pagi ini.
Dengan tema "Merevolusikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan di Tempat Kerja", OSH-Week tahun ini menyentuh keperluan mendesak untuk memanfaatkan teknologi moden dalam mengurus risiko di tempat kerja sejajar dengan perubahan landskap pekerjaan dalam era Revolusi Industri 5.0.
Menurut Datuk Bandar, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi boleh dimanfaatkan dalam sistem pemantauan secara masa nyata, pengesanan risiko ergonomik serta penganalisisan data kemalangan bagi tujuan pencegahan.
"Sudah tiba masanya aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan turut berevolusi seiring kemajuan teknologi. Pendigitalan membolehkan taklimat risiko dan latihan keselamatan dijalankan dengan lebih berkesan dan interaktif," ujar beliau.
Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) MBI atas perancangan rapi dan pelaksanaan berimpak tinggi OSH-Week tahun ini.
Antara objektif utama penganjuran OSH-Week termasuklah:
Meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya kerja selamat dalam kalangan warga kerja dan masyarakat;
Menyebarkan maklumat terkini berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
Menggalakkan penglibatan aktif warga kerja dalam pelbagai program KKP;
Mengurangkan risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan; dan
Memastikan pematuhan kepada perundangan berkaitan.
Sepanjang minggu ini, pelbagai aktiviti dijadualkan berlangsung termasuk Kursus Pemanduan Selamat bersama JPJ, Kursus Pertolongan Cemas (BOFA), Taklimat Pengurusan Bahan Kimia & Ergonomik, Program Sokongan Perjalanan Selamat (CSSP) serta siaran khas MBI & Anda di saluran radio dan YouTube.
Datuk Bandar turut menegaskan kepentingan menghayati nilai “zero accident mindset” dalam kalangan penjawat awam dan mengingatkan bahawa pematuhan kepada SOP bukan hanya ketika wujud penguatkuasaan, tetapi sepatutnya menjadi amalan berterusan.
Majlis diakhiri dengan pelancaran rasmi OSH-Week 2025 yang disempurnakan oleh Datuk Bandar, diiringi tepukan gemuruh hadirin sebagai tanda sokongan terhadap usaha meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di MBI.