Ipoh, 13 Jun 2025 – Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, telah mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang terletak di Jalan Bandar, pagi tadi.
Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBI, Tuan Ahmad Zaiyadi bin Sudin.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau operasi harian jabatan serta memahami lebih dekat peranan dan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang serta menjaga keselamatan bandar raya secara cekap dan berkesan.
Sepanjang lawatan, Datuk Bandar telah diberi taklimat terperinci oleh Penolong Pengarah Jabatan, En. Muhamad Zul Hazmi bin Sham, yang menyentuh pelaksanaan operasi penguatkuasaan termasuk pemantauan pematuhan undang-undang kecil, pengurusan aduan awam dan tindakan di lapangan.
Beliau turut menerima taklimat berasingan berhubung pelaksanaan operasi keselamatan daripada Penolong Ketua Bahagian Penguat Kuasa, En. Muhammad Nadzir bin Rosli. Taklimat ini memperincikan peranan pengawal keselamatan MBI dalam memastikan keselamatan premis dan kemudahan awam serta membantu melaporkan sebarang insiden mencurigakan di kawasan bandar raya. Selain itu, turut dibentangkan ialah maklumat berkaitan Skuad Ihsan Madani, iaitu pasukan bantuan pasca bencana di bawah seliaan MBI.
Datuk Bandar turut berkesempatan meninjau fasiliti pejabat dan beramah mesra bersama para pegawai, kakitangan serta barisan pengawal keselamatan yang bertugas sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka dalam memastikan persekitaran bandar raya Ipoh kekal aman dan teratur.
Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan memperkukuh fungsi penguatkuasaan dan keselamatan agar pelaksanaan undang-undang dapat dijalankan secara telus, adil dan berintegriti. Beliau turut menyeru seluruh warga kerja MBI agar terus bersatu tenaga dan komited dalam merealisasikan visi menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera.
Program seperti ini diharap dapat menyuntik semangat baharu serta meningkatkan motivasi dalam kalangan warga kerja untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang demi kesejahteraan warga kota Ipoh.