Ipoh, 30 September 2026 – Kerajaan Negeri Perak meneruskan pendekatan inklusif dalam merangka hala tuju pembangunan negeri menerusi penganjuran Dialog Belanjawan 2027 Negeri Perak Darul Ridzuan, yang menghimpunkan pelbagai pihak bagi berkongsi pandangan, idea dan cadangan dalam penyediaan Belanjawan Negeri Perak 2027.
Program berkenaan dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, yang turut menyampaikan rumusan pada akhir sesi dialog.
YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, turut hadir dalam program berkenaan sebagai tanda sokongan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap usaha Kerajaan Negeri memperkukuh perancangan pembangunan yang lebih menyeluruh, mampan dan berorientasikan keperluan rakyat.
Antara pengisian utama program ialah Sesi Pembentangan Kajian Belanjawan 2027 Negeri Perak oleh TPr. Dr. Zulqarnain Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), diikuti dengan sesi dialog dan perkongsian idea bersama para peserta.
Sesi tersebut menjadi platform penting untuk mendapatkan input dan pandangan daripada pelbagai pihak mengenai keutamaan pembangunan negeri, di samping mengenal pasti isu serta keperluan semasa yang boleh diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan Negeri Perak 2027.
Penganjuran dialog ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak untuk mengamalkan pendekatan libat urus dalam proses perancangan pembangunan, sekali gus memastikan dasar dan inisiatif yang dirangka dapat memberi manfaat kepada rakyat serta menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030.
MBI sentiasa bersedia untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri, khususnya dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan perbandaran dan meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup warga bandar raya Ipoh.