7 Ogos 2025 - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menganjurkan satu sesi Focus Group Discussion (FGD) selama dua hari bersama United Nations Industrial Development Organization (UNIDO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang beribu pejabat di Vienna, Austria.
Sesi ini telah difasilitasi oleh Madam Sooksiri Chamsuk dari Pejabat Sub-Region UNIDO Bangkok dan diurusetiakan oleh Unit Sekretariat Bandar Ekonomi Donat, MBI. Tujuan utama FGD ini adalah untuk membincangkan isu perubahan iklim serta mendapatkan input dan cadangan penyelesaian yang relevan bagi bandar raya Ipoh.
Antara yang hadir ialah Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, YBhg. Clr Dato' Mazlan Abdul Rahman, Clr Wong Kar Keat, Ahli Majlis, YBhg. Dato’ Chua, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) serta Ketua Jabatan MBI.
TPr Dr Zulqarnain telah menyampaikan taklimat mengenai inisiatif Bandar Ekonomi Donat, manakala LAr Meor Abdullah Zaidi membentangkan Pelan Induk Landskap Bandaraya Ipoh. Wakil dari Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) iaitu Presiden ILAM, LAr Dr Atiah dan LAr Dr Ivan Fong, turut berkongsi cadangan awal berkaitan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature-based solutions) serta usaha tebatan banjir di Lembangan Sungai Kinta dalam kawasan bandar raya.
Antara agensi yang hadir termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia
Tourism Perak, Lembaga Pengurusan Badan Air Perak, PASAK (TVET), Lembaga Pengurusan Badan Air Perak, Puan Jamilah dari Sekretariat Pembangunan Wanita Perak serta beberapa agensi negeri lain.
Pada hari pertama, sesi persidangan video bersama pejabat UNIDO di Vienna telah diadakan melibatkan Madam Rashmi Jawahar dan Mr. Stefan Pahl dari Unit Teknikal UNIDO bagi menilai cadangan projek dari pihak MBI.
Empat komponen utama projek yang dibincangkan adalah:
1. Pengukuhan Tadbir Urus Tempatan dan Komuniti untuk Ketahanan Iklim;
2. Sistem Amaran Awal Berasaskan Impak untuk Perancangan Adaptif;
3. Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi dan Adaptasi Komuniti untuk Ketahanan Pelancongan;
4. Rantaian Bekalan Pelancongan yang Tahan Lasak, Kesediaan Pelaburan dan Pengetahuan untuk Peningkatan Tahap.
Cadangan projek dan langkah mitigasi yang dikenalpasti berpotensi dibiayai melalui Adaptation Fund di bawah kelolaan UNIDO, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.