Ipoh, 12 Julai 2025 – Suasana malam minggu di Bandaraya Ipoh diserikan dengan penganjuran program Melodi Bandar Raya Amphitheatre@Laman Sejahtera yang menampilkan genre lagu "Galau" sebagai tema utama persembahan pada kali ini.
Program anjuran Jabatan Komuniti Bandaraya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu yang kini memasuki edisi keempat, berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 penonton daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, sekaligus membuktikan sambutan hangat warga Ipoh terhadap aktiviti seni komuniti.
Antara lagu-lagu galau yang mengisi malam penuh emosi ini termasuk Pudar, Masing-masing, Menjaga Jodoh Orang Lain, Hijab Rindu, dan Bukan Lagi Kita — yang semuanya membawa tema patah hati dan rasa kehilangan yang cukup dekat dengan jiwa pendengar.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Komuniti Bandaraya, Encik Romzi bin Zamri.
Program Melodi Bandar Raya Amphitheatre@Laman Sejahtera merupakan sebahagian daripada inisiatif kreatif di bawah Program Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) UNESCO bagi kategori muzik, yang menyokong pembangunan komuniti melalui pendekatan seni dan budaya.
Sebelum ini, pelbagai tema muzik lain turut dipersembahkan seperti Rock Never Die, Gema Warisan Budaya (GWB) 1.0, dan GWB 2.0, yang memberi kepelbagaian cita rasa kepada khalayak.
Penganjuran program sebegini bukan sahaja menjadi platform hiburan santai, malah turut membuka ruang kepada penggiat seni tempatan untuk menonjolkan bakat masing-masing.
MBI kekal komited untuk meneruskan inisiatif ini sebagai usaha memperkayakan kehidupan malam Bandaraya Ipoh dengan aktiviti bermanfaat serta mengukuhkan hubungan erat antara komuniti setempat.