Kuala Kangsar, 9 November 2025– Istiadat Menghadap Taat Setia serta Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh adat istiadat di Istana Iskandariah hari ini.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat ke istiadat berkenaan.
Turut berangkat mengiringi Duli Tuanku ialah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat sama, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim.
Seramai 238 penerima telah dianugerahkan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sebagai tanda penghargaan atas jasa, bakti serta komitmen mereka dalam menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Istiadat ini turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh serta isteri, YBhg. Puan Kartini binti Ibrahim.