Aktiviti & Berita

KARNIVAL ULANG TAHUN BANDAR RAYA IPOH KE-38 MERIAH

Ipoh, 18 Jun 2026 – Karnival Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 berlangsung meriah di Ipoh Convention Centre hari ini.

Karnival yang diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam itu menerima sambutan amat menggalakkan daripada warga kota, komuniti setempat serta pengunjung luar yang hadir bersama keluarga bagi menikmati pelbagai pengisian menarik sepanjang hari.

Penganjuran karnival ini diadakan bersempena sambutan ulang tahun Bandar Raya Ipoh ke-38 dengan membawa tema “Menjulang Aspirasi, Bandar Raya Bestari”. Tema ini mencerminkan komitmen MBI dalam memperkukuh pembangunan Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang progresif, inklusif, sejahtera dan dekat dengan warga kota.

Sepanjang penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai program berbentuk komuniti, kesihatan, pendidikan, keusahawanan dan gaya hidup.

Antara tarikan utama karnival ialah Program Komuniti Sejahtera yang menawarkan pelbagai pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan komuniti secara percuma. Program ini mendapat perhatian ramai apabila menghimpunkan pelbagai agensi, hospital, klinik serta rakan strategik kesihatan dalam satu lokasi bagi memberikan manfaat langsung kepada masyarakat.

Program Derma Darah turut mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai tampil menyumbang darah sebagai tanda keprihatinan sosial. Inisiatif ini sekali gus menjadi platform kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah dalam membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

Karnival ini turut menarik penyertaan golongan belia dan profesional muda menerusi sesi perkongsian ilmu serta inspirasi seperti Be Better Workshop bersama CuteCarry dan Gen Z Talk bersama MadNor. Kedua-dua program berkenaan membuka ruang kepada peserta untuk mendapatkan pandangan baharu berkaitan pembangunan diri, komunikasi, gaya hidup positif dan kesedaran kesihatan mental.

Dalam masa yang sama, suasana di sekitar ICC turut meriah dengan kehadiran pengunjung ke kawasan Pop Up Market x Pekan Pop Up, Food Street, Jualan Rahmah dan Mini Roadshow Big Bad Wolf Books.

Pelbagai produk tempatan, makanan, minuman, barangan preloved, kraftangan, aksesori serta bahan bacaan ditawarkan, sekali gus memberi peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan memperluas jaringan pelanggan.

Peminat kopi pula tidak melepaskan peluang menyertai Klinik Barista dan Demo Latte Art yang memberikan pendedahan kepada kemahiran asas penyediaan kopi secara praktikal. Program ini turut dilihat berpotensi mencetuskan minat baharu dalam kalangan peserta terhadap bidang kemahiran dan keusahawanan berasaskan kopi.

Kehadiran pengunjung yang amat menggalakkan membuktikan bahawa sambutan ulang tahun Bandar Raya Ipoh terus mendapat tempat di hati masyarakat. Karnival ini bukan sahaja menjadi medan meraikan kejayaan pembangunan bandar raya, malah turut memperkukuh semangat kebersamaan antara MBI, komuniti, agensi kerajaan, rakan strategik dan warga kota Ipoh.

MBI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk agensi kerajaan, rakan strategik, penganjur bersama, peniaga, peserta program, petugas serta orang ramai yang hadir memberikan sokongan padu bagi menjayakan karnival ini.

Penganjuran karnival ini diharap dapat terus menjadi platform tahunan yang dinantikan oleh warga kota, selain memperkukuh imej Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang sejahtera, dinamik, mesra komuniti dan berdaya saing.

725611262 1400097518809431 6846057578753218167 N 1
725616157 1400097428809440 8702848615978299997 N
725627291 1400097395476110 2331171987467908268 N
726768133 1400097638809419 4520042735767245883 N
726808482 1400097505476099 2456229791694900481 N
726808691 1400097588809424 825424691859532188 N
726808692 1400097388809444 6733387185894880309 N
726808959 1400097415476108 4568654239087888359 N
726908561 1400097455476104 1827653668597818813 N
726914725 1400097652142751 7832820148879198141 N
726914732 1400097608809422 267879420355570322 N
726938250 1400097472142769 5634077326142131215 N
mbir

Layari  Portal Radio TVBI  dan Facebook Radio MBI untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 23/06/2026.
  • Jumlah Pelawat 6804869