Ipoh, 22 Jun 2025 – Program Ipoh Low Carbon Day (ILCD) Siri Ke-80 bagi bulan Jun berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 1,200 peserta menerusi dua acara utama iaitu Kayuhan Bandar Selamat 2025 dan Larian Run For A Decade, sempena sambutan ulang tahun Bandaraya Ipoh ke-37 tahun ini.
Acara Kayuhan Bandar Selamat 2025, anjuran bersama PlanMalaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah inisiatif Program Bandar Selamat 2025, menyaksikan penyertaan seramai 450 peserta dari seluruh negara termasuk dari Johor dan Perlis. Turut serta adalah wakil-wakil agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan seperti PDRM, MBPP, MBAS serta kelab-kelab berbasikal tempatan dan peserta individu.
Kayuhan sejauh 20KM itu merentasi laluan strategik di sekitar Ipoh iaitu Pekan Baru, Pekan Lama serta Bandar Baru Sunway, Tambun, sekali gus mempromosi elemen keselamatan dan kesejahteraan bandar. Para peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai berjumlah RM4,000.
Sementara itu, Larian Run For A Decade sejauh 5KM diadakan sempena memperingati 10 tahun penganjuran Program Ipoh Low Carbon Day yang dahulunya dikenali sebagai Ipoh Car Free Day. Seramai 800 peserta dari dalam dan luar Ipoh menyertai acara larian tersebut. Hadiah cabutan bertuah turut ditawarkan kepada peserta larian sebagai penghargaan atas sokongan mereka.
Bagi edisi kali ini, tema yang dipilih ialah “Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pemerdagangan Haram Antarabangsa” (International Day Against Drug Abuse and Illicit Trafficking), sejajar dengan tarikh peringatan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada setiap 26 Jun. Tema ini dilihat selari dengan penganjuran Kayuhan Bandar Selamat yang menekankan aspek pencegahan jenayah dan penyalahgunaan dadah dalam komuniti.
Turut menjayakan program ini ialah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Malaysian Crime Prevention Foundation (MCPF) yang membuka booth pameran dan kesedaran awam di lokasi acara.
Gejala dadah yang diisytiharkan sebagai musuh utama negara sejak tahun 1983 masih menjadi isu serius sehingga hari ini. Statistik menunjukkan hampir 80% penagih dadah adalah dalam kalangan belia berusia antara 18 hingga 40 tahun, yang merupakan kumpulan tenaga kerja penting bagi masa depan negara.
Program ILCD ini diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya dadah serta kepentingan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah dan komuniti. Ia juga bertujuan menggalakkan pergaulan sihat merentas kaum dan generasi dalam usaha membendung pengaruh negatif terhadap masyarakat.
Majlis pelepasan rasmi kedua-dua acara telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya mewakili Datuk Bandar Ipoh, bersama Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua Whip Ahli Majlis MBI; Encik Kamal Hisham bin Kamaruddin, Ketua Sektor Education Enterprise & Public Sector Business dan Cik Migawati Ismail, wakil dari TIME DotCom.
Program ini turut mendapat tajaan dan sokongan daripada Kerajaan Negeri Perak, TIME DotCom dan Olligo.