Cameron Highlands, 14 November 2025 – Dalam melahirkan penulisan berita portal dan media sosial yang berkualiti, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menganjurkan Kursus Penulisan Berita Portal dan Media Sosial selama tiga hari bermula dari 12 hingga 14 November 2025.
Seramai 23 orang pegawai dan anggota MBI telah menyertai kursus ini, mewakili pelbagai jabatan termasuk Khidmat Pengurusan, Perkhidmatan Komuniti, Perbendaharaan, Penguatkuasaan, Kawalan Pembangunan, Taman dan Landskap, Integriti serta Pusat Sehenti (OSC).
Penganjuran kursus ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemahiran pegawai serta anggota MBI dalam bidang penulisan berita, pengurusan portal dan media sosial, sejajar dengan keperluan komunikasi digital masa kini. Kursus ini turut memberi penekanan kepada etika kewartawanan, teknik penulisan berkesan, serta penggunaan teknologi moden termasuk Kecerdasan Buatan (AI) dan Mobile Journalism (MOJO) dalam penyampaian maklumat.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta terlibat dalam pelbagai sesi interaktif dan latihan praktikal seperti Bengkel Asas Penulisan Berita, Etika Penulisan dan Undang-undang, Simulasi Sidang Media/Program MOJO, serta Penulisan Portal, Media Sosial dan AI. Program ini turut menekankan kepentingan penyebaran maklumat yang tepat, pantas dan beretika bagi memperkukuh peranan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan yang telus, mesra rakyat dan responsif terhadap perkembangan semasa.
Kursus ini dibimbing oleh dua penceramah berpengalaman, iaitu Encik Saifullah bin Ahmad, Ketua Biro Sinar Harian Perak dan Encik Mohamad Hafizi Mohd Said, Editor Malaysia Gazette Perak.
Majlis perasmian penutupan kursus telah disempurnakan oleh Puan Normala binti Latiff, Pengarah Khidmat Pengurusan MBI mewakili YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.
Melalui penganjuran kursus ini, MBI berharap dapat memantapkan keupayaan komunikasi korporat serta memperkukuh penyampaian maklumat berimpak tinggi kepada warga Bandaraya Ipoh melalui pelbagai platform digital dan media sosial.