Ipoh, 23 September 2025 – Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Clr. Encik Lawrence A/L Palanisamy, menyeru warga sekolah agar mengamalkan gaya hidup mesra alam dengan menitikberatkan aspek kebersihan serta menyokong Program CAREton, iaitu inisiatif kitar semula kotak minuman.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis bersama murid-murid dan warga pendidik di beberapa buah sekolah di Ipoh, termasuk SJKT St. Philomena Convent, SK Tarcisian Convent dan SJK (T) Sangeetha Sabah.
Menurut beliau, Program CAREton memberi fokus kepada usaha mengitar semula kotak minuman supaya tidak berakhir sebagai sisa yang mencemarkan alam sekitar. “Dengan penglibatan semua pihak, kita bukan sahaja membantu memelihara bumi untuk generasi akan datang, malah turut membentuk sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri setiap warga masyarakat,” ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama, terutama di sekolah. Murid-murid disaran untuk menggunakan tong sampah yang disediakan, selain mengasingkan bahan kitar semula seperti kotak minuman, botol plastik dan kertas.
“Setiap perubahan besar bermula dengan langkah kecil. Jika setiap daripada kita memulakan langkah dengan amalan kitar semula dan menjaga kebersihan, nescaya ia akan memberi kesan besar kepada kelestarian alam sekitar,” tambahnya.
Majlis yang diadakan pada 23 September 2025 ini berlangsung di tiga buah sekolah bermula seawal jam 7.45 pagi di SJKT St. Philomena Convent, diteruskan jam 10.30 pagi di SK Tarcisian Convent, dan berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari di SJK (T) Sangeetha Sabah.
Program ini turut dihadiri guru besar, guru-guru, serta murid-murid yang mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti kitar semula yang dijalankan.