Ipoh, 12 Februari 2026 – Dr. Tan Awang Besar, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengetuai delegasi Jabatan Perumahan Negara dalam satu kunjung hormat serta sesi perbincangan bersama Datuk Bandar Ipoh di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Jabatan Perumahan Negara dan Majlis Bandaraya Ipoh, khususnya dalam aspek pembangunan perumahan mampan dan kaedah serta cadangan bagi penyelesaian isu perumahan swasta terbengkalai di kawasan pentadbiran MBI.
Dalam sesi perbincangan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan berhubung isu-isu semasa berkaitan pembangunan perumahan, termasuk penyelarasan dasar, pemantauan projek terbengkalai serta usaha mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Dr. Tan Awang Besar dalam ucapannya menegaskan komitmen Jabatan Perumahan Negara untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan agenda perumahan negara dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat langsung kepada warga bandaraya Ipoh.
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh menyambut baik kunjungan tersebut dan menyatakan kesediaan MBI untuk terus memperkukuh kolaborasi bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam merancang serta melaksanakan projek-projek perumahan yang inklusif dan berkualiti serta membantu Jabatan Perumahan Negara dalam segenap aspek bagi memenuhi kehendak masyarakat.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasakan pembangunan perumahan yang mampan, sejahtera dan berdaya huni demi kesejahteraan rakyat.